Apung harga diesel: Anwar minta tunggu pengumuman Menteri Kewangan II

Anwar bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Amir Hamzah semasa Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Anwar bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Amir Hamzah semasa Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tunggu pengumuman Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai keputusan sama ada harga diesel akan diapungkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tunggu pengumuman MKII (Menteri Kewangan II),” katanya ringkas kepada pemberita pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan mengapungkan harga diesel susulan keputusan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api itu.

Mengenai permintaan penggiat industri supaya kerajaan memperluaskan senarai penerima subsidi diesel, Anwar meminta perkara itu dirujuk kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengulas kebimbangan pengusaha restoran bahawa kenaikan kos pengangkutan akan ditanggung pengguna, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah mengambil langkah yang secukupnya bagi menangani perkara itu.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan pada 21 Mei lepas, Anwar berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel untuk mengurangkan potensi kesan kenaikan harga secara mendadak terhadap barangan dan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Kalau ada laporan, ada siasatan dan patut ada penjelasan tentang prosesnya, itu harus dianggap sebagai kes biasa yang patut disiasat,” katanya.

Exco Selangor Ng Sze Han pada minggu lepas berkata, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT dan sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Suami Hannah, Ramachandran Muniandy ialah Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!