Gerakan Blockout: Rossa puji rakyat Malaysia
GERAKAN Blockout atau menyekat laman sosial artis yang memberi sokongan terhadap rejim Zionis turut mendapat perhatian penyanyi dari seberang, Rossa.
Bahkan, bintang berusia 45 tahun itu turut memuji keazaman rakyat di negara ini yang turut sama menunjukkan bantahan terhadap rakyat Palestin yang kini menderita akibat ditindas Israel.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani itu tidak merasai bahang sama di negaranya.
“Boleh saya katakan gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Impak gerakan Blockout boleh dirasai di sini.
“Mungkin kerana sebahagian di Indonesia mempunyai pemikiran berbeza-beza,” katanya.
Rossa berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
Namun dalam masa sama, pelantun lagu Tegar itu berpendapat, ia tidak bermaksud rakyat Indonesia langsung tidak menunjukkan tanda solidariti kepada sesama saudara Islam di bumi Palestin.
“Setiap hari minggu pasti ada perhimpunan diadakan di Indonesia bagi memperjuangkan nasib rakyat yang berdepan keganasan rejim zalim itu,” ujarnya.
Malah sebagai tanda soladariti buat rakyat di Palestin yang kini kebanyakannya berlindung di Rafah, Rossa berkata, dia tidak lagi mempromosikan jenama yang dikaitkan dengan rejim Zionis.
“Saya tidak promosi barangan jenama pro-Israel tapi kalau untuk tujuan kerja selagi ia bukan hard sell saya tidak kisah terbabit dalam acara mereka,” jelasnya.
#Blockout2024 dilancarkan selepas majlis Met Gala di New York, Amerika Syarikat pada 6 Mei lalu dan bertujuan memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk yang menyokong kekejaman Israel di Palestin.
Tarikh itu juga bersamaan dengan hari Israel mengarahkan penduduk di Timur Rafah untuk berpindah ke lokasi ‘selamat’ bagi melancarkan operasi di Selatan Gaza.
Antara selebriti Malaysia yang tersenarai dalam boikot itu ialah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.
Sementara itu, Rossa adalah antara barisan artis yang bakal memeriahkan Konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan.
Selain Rossa, 45, konsert anjuran syarikat Mega Eve itu bakal dijayakan oleh Dayang Nurfaizah dan Raja Pop, Jamal Abdillah manakala seorang lagi artis masih belum didedahkan identitinya.
Lima peratus daripada hasil tiket Konsert Divas & Diamonds akan diserahkan terus kepada pegawai kedutaan Palestin untuk membantu mereka di Gaza.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!