Putrajaya tuan rumah Kejohanan Renang Perairan Terbuka ASEAN

Kompleks Sukan Air Putrajaya bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 pada 2 Jun. - Foto: Agensi
Kompleks Sukan Air Putrajaya bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 pada 2 Jun. - Foto: Agensi
A
A
A

TASIK Putrajaya bakal menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa menerusi penganjuran Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 pada 2 Jun ini.

Kejohanan yang dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya (KOSA) itu akan turut disertai peserta dari Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Thailand.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur, Mae Chen berkata, penganjuran kejohanan itu memberi peluang buat perenang negara untuk mendapat pendedahan terbaik lebih-lebih lagi ia merupakan acara pada Sukan Olimpik.

"Kami mengharapkan kejohanan ini akan menjadi medan untuk para perenang mempamerkan kehebatan masing-masing dan bersaing sesama mereka dalam persekitaran yang selamat.

"Sukan renang perairan terbuka sebenarnya telah menjadi popular selepas Heidi Gan meraih pingat emas berganda 5 kilometer (km) dan 10km di Sukan SEA Indonesia pada 2011.

"Malah Heidi juga telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali," katanya.

Kejohanan itu diuruskan oleh Hammersmith (M) Sdn Bhd dengan kerjasama ASEANHUB Sdn Bhd dan mendapat sokongan Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur serta Kementerian Belia dan Sukan.

Chelsea bakal menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 pada 2 Jun. - Foto: Agensi
Chelsea bakal menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Renang Perairan Terbuka Festival ASEAN NX113 pada 2 Jun. - Foto: Agensi

Artikel Berkaitan:

Sebanyak enam kategori akan pertandingkan merangkumi lelaki dan wanita 5km, lelaki dan wanita 1.5km serta lelaki dan wanita 400m sesuai untuk disertai oleh para perenang dari pelbagai peringkat usia.

Cabaran Malaysia akan diketuai oleh Chelsea Ning Lee yang merupakan antara atlet renang perairan terbuka utama negara.

Atlet berusia 19 tahun itu pada Jun tahun lalu melakar sejarah menjadi wanita Malaysia pertama untuk melengkapkan renangan ultra maraton sepanjang 33km di Perancis.

Chelsea menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan dengan catatan masa memberangsangkan iaitu tujuh jam, 26 minit dan 48 saat di Le Flow Des Gabarriers.

Dalam pada itu, Pengerusi Hammersmith (M) Sdn Bhd, Barry Lee teruja untuk menganjurkan kejohanan tersebut buat kali pertama.

Beliau berkata, tujuan penganjuran kejohanan itu adalah untuk mempromosikan sukan renang perairan terbuka kepada orang ramai menerusi acara berjarak pendek dan sederhana seperti 400m dan 1.5km.

"Orang ramai terutama peserta kali pertama boleh beraksi dengan hati yang tenang dalam persekitaran yang selamat.

"Aspek keselamatan menjadi keutamaan penganjur. Kami telah mengambil segala langkah untuk memastikan tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!