Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki kiri
KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selamat menjalani pembedahan kaki kiri di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada Isnin.
Menurut kenyataan Istana Arau pada Selasa, Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan dan prosedur itu selesai tanpa sebarang masalah.
"Tuanku Raja dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata dan semua kaum kerabat serta sahabat handai yang tidak putus-putus mendoakan kehadrat ALLAH SWT agar dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kesembuhan segera buat Tuanku Syed Sirajuddin,” menurut kenyataan itu.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada barisan pakar serta seluruh warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF.
Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin akan menjalani proses rawatan pemulihan sepenuhnya di Wad Diraja HTF. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!