RKK Genting Highlands sasar peningkatan lebih 10 peratus pelancong
BENTONG - Wajah baharu Genting Highlands yang bakal diterjemahkan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa yang lestari dijangka dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong domestik dan luar negara.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pada tahun lepas Genting Highlands adalah lokasi tertinggi mencatatkan kehadiran pelancong dengan 8.14 juta daripada jumlah keseluruhan 13.2 juta orang ke Pahang.
"Berdasarkan unjuran, kita menyasarkan peningkatan lebih 10 peratus kehadiran pelancong.
"Kita juga berharap menerusi RKK ini dapat menarik ramai pelabur dari dalam dan luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena perasmian program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Genting Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Selasa.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V Arumugam dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Datuk Rose Shamsul Abdul Razak
Mohammad Fakhruddin berkata, RKK tersebut akan memastikan pembangunan lebih terkawal di kawasan tanah tinggi terkenal itu.
"Kajian ini menitikberatkan tiga aspek iaitu kawasan pelancongan tanah tinggi yang menjadi destinasi pilihan pelancong, keperluan kawalan perancangan yang komprehensif agar dapat memelihara kawasan hutan dan sumber semula jadi serta kepentingan flora dan fauna yang memerlukan langkah pengawalan serta pencerahan," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai khususnya agar tidak melepaskan peluang menyertai program publisiti tersebut yang bermula sejak 2 Mei hingga 3 Jun ini.
"Kita ingin melihat penglibatan orang ramai di kawasan terbabit dan datang melihat apa pembangunan yang dilakukan di kawasan masing-masing," tambahnya.
Orang ramai berpeluang melakukan semakan di kaunter Jabatan Perancangan Bandar di MPB, ruang legar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang ataupun melalui pautan di portal MPB sendiri.
RKK Genting Highlands membabitkan keluasan 6,339.85 hektar merupakan kajian yang disediakan oleh Majlis MPB dengan kerjasama PLANMalaysia Pahang dan dibantu oleh PLANMalaysia Semenanjung Malaysia.
Kajian tersebut disediakan di bawah peruntukan Seksyen 16B, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang perlu memperincikan polisi, dasar dan strategi pemajuan iaitu Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Bentong Pahang 2035 (Penggantian).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!