Jun Hao lulus ujian pertama di Singapura

Jun Hao mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura selepas menewaskan pemain Jepun pada Selasa. Foto Agensi
Jun Hao mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura selepas menewaskan pemain Jepun pada Selasa. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao lulus ujian pertama Terbuka Singapura 2024 setelah mengejut wakil Jepun, Kanta Tsuneyama yang berstatus ke-28 dunia sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Dalam Dewan Singapura, Jun Hao yang menghuni ranking ke-36 dunia mengambil masa 45 minit untuk membenam cabaran Tsuneyama 21-13, 21-16 pada pertemuan pertama mereka.

Jun Hao bagaimanapun tidak boleh menarik nafas lega lagi apabila pusingan kedua pada Khamis dia bakal berdepan halangan lebih besar.

Pemain berusia 24 tahun itu dijangka membuat perhitungan antara pilihan ketujuh kejohanan, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia atau rakan negara, Lee Zii Jia yang akan bertembung untuk aksi pusingan pertama pada Rabu.

Atas kertas Jun Hao belum pernah menang ke atas Anthony apabila kalah dalam dia aksi pusingan kedua Masters Indonesia 2024 dan Terbuka Hong Kong 2023.

Jika dipertemukan dengan Zii Jia pula, Jun Hao juga bakan berdepan tugas berat kerana masih gagal mengatasi pemain nombor satu negara itu dalam tiga pertarungan sebelum ini.

Mengikut jejak Jun Hao ialah beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menumpaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 21-18, 21-13 dalam pertarungan kesembilan mereka.

Gandingan negara yang berada di kedudukan ke-14 dunia itu akan berdepan pilihan kelapan kejohanan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selepas pasangan China itu menewaskan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis 25-23, 21-10.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!