Lelaki maut motosikal bertembung kereta

Keadaan motosikal mangsa yang maut akibat kemalangan itu. Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa yang maut akibat kemalangan itu. Foto ihsan PDRM
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 24 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Alor Tuman dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitenden Mohd Razman Setapa berkata, mangsa yang berusia 44 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurutnya, kemalangan pada jam 6.25 pagi itu melibatkan motosikal dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 23 tahun bersama seorang penumpang.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika penumpang kereta dari arah Kemaman hendak pulang ke rumahnya di Kampung Rhu Muda, Marang.

"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah manakala pemandu dan penumpang kereta hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Razman berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk urusan bedah siasat.

Katanya, kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Mohd Razman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzee ditalian 010-2840273 atau 09-6182222.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!