'Nasib sembilan penduduk Sri Makmur ibarat pelarian'
GOMBAK - Nasib sembilan penduduk Kampung Sri Makmur dekat sini, ibarat 'pelarian' selepas rumah mereka dirobohkan malah mendakwa tidak sempat membuat persediaan untuk berpindah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, arahan pemindahan di kampung berkenaan melibatkan lebih 20 buah keluarga.
Namun, ujarnya, sembilan penduduk terbabit yang kini tiada tempat berteduh tidak termasuk dalam senarai untuk mendapatkan tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan RM1,000.
"Yang mendapat tawaran didakwa seramai 21 orang tetapi kumpulan di bawah saya 13 orang (tidak termasuk dirinya) dan tujuh lagi (penduduk) diambil secara rambang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah Noora, keluarga peneroka bandar daripada Persatuan Perantau Sri Makmur dalam kumpulannya itu sudah mendapat tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan RM1,000.
Namun, apa yang menjadi persoalannya adalah apabila nama sembilan keluarga itu tidak dimasukkan ke dalam senarai tawaran rumah berkenaan.
"Sembilan (penduduk) ini memang tiada dalam senarai, pemutihan itu dibuat pada tahun 2005 dan 2006 tetapi salah seorang daripada mereka bersalin kat situ dan alamat tertera di surat beranak tahun 2005.
"Saya sedang berusaha untuk membantu termasuk mendapatkan pampasan dan sepatutnya yang dibantu adalah 30 keluarga bukan 21 keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Noora berkata, sembilan penduduk terbabit bersama keluarga masing-masing kini tiada arah untuk dituju apabila terpaksa menginap di hotel, menumpang di rumah kawan-kawan dan surau.
Pada Isnin, media melaporkan sembilan keluarga yang merupakan penduduk asal dan sudah lama menetap di Kampung Sri Makmur dekat sini telah diarahkan berpindah.
Ia bagi membolehkan kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan dan pembangunan kondominium di kawasan berkenaan.
Sebelum itu, penduduk yang terlibat sebelum ini telah menerima notis untuk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu, namun telah ditangguhkan sehingga Ahad lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline 'Nasib sembilan penduduk Sri Makmur ibarat pelarian' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Selangor #KL #Gombak #SriMakmur #Kampung #Rumah #Pindah #Keluarga
Conquerors - Matthias Förster
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!