Laporan penuh nahas dua helikopter TLDM didedahkan minggu depan
SUNGAI BULOH - Laporan penuh nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lepas akan didedahkan selewat-lewatnya minggu depan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tanpa menjelaskan butiran lanjut, Mohamed Khaled berkata, laporan penuh siasatan nahas di Lumut, Perak itu sedang dilengkapkan.
"Tidak lama lagi akan kita keluarkan. Mungkin akhir minggu depan. Ia sedang dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Kompleks Perhebat, Kem Sungai Buloh, di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri telah berbincang secara mendalam mengenai insiden nahas helikopter di Pangkalan TLDM, Perak dan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam tempoh sebulan.
Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!