Suspek pecah rumah Khuzaimi Piee guna MPV nombor pendaftaran palsu
SHAH ALAM - Suspek yang terlibat dalam kejadian pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee 22 Mei lalu dipercayai menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek terlibat dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).
"Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati nombor pendaftaran yang terdapat pada kenderaan berkenaan dipercayai palsu.
"Setakat ini, seramai tujuh individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes ini," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, tular video di media sosial dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar rumah pemain bola sepak Selangor FC itu.
Video berkenaan memaparkan kenderaan pelbagai guna (MPV) didakwa digunakan suspek.
Selain itu, video itu turut menunjukkan seorang individu menunggang motosikal dipercayai milik Khuzaimi selepas memecah masuk kediaman pemain itu selain rakaman menunjukkan MPV itu masuk dan keluar melalui pondok pengawal keselamatan di kediaman pemain itu.
22 Mei lalu, kediaman Khuzaimi dilaporkan dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!