Tiga PBT di Selangor sedia rumah perlindungan kucing, anjing

Suee Lim (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen MoU antara Yang Dipertua MDSB, Azman Dahlan (dua dari kiri) dan Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Kempen Santuni Haiwan #luvyourpet MDSB 2024 dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Penguatkuasaan Bersepadu Haiwan Berkeliaran pada Selasa.
Suee Lim (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen MoU antara Yang Dipertua MDSB, Azman Dahlan (dua dari kiri) dan Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Kempen Santuni Haiwan #luvyourpet MDSB 2024 dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Penguatkuasaan Bersepadu Haiwan Berkeliaran pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor khususnya bertaraf bandar raya digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya satu rumah perlindungan kucing dan anjing terbiar bagi mengelakkan isu kacau ganggu dan risiko keselamatan kepada orang awam.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan rumah perlindungan menempatkan haiwan terbiar itu boleh dibuat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) di setiap PBT terlibat.

Menurut beliau, setakat ini tiga daripada 12 PBT di negeri ini telah menyediakan rumah perlindungan haiwan itu iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Saya sendiri akan turun padang untuk melihat sendiri dari segi fasiliti dan sebagainya, jika tidak mencukupi, kita meminta PBT yang melaksanakan rumah perlindungan untuk tambah baik," jelas beliau.

"Setakat ini kita telah memberi peruntukan sebanyak RM150,000 kepada MBSJ untuk melaksanakan program ini dan berharap PBT lain yang berkemampuan untuk turut serta dalam program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kempen Santuni Haiwan #luvyourpet MDSB 2024 dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Penguatkuasaan Bersepadu Haiwan Berkeliaran di Dewan Seri Bernam di sini pada Selasa.

Suee Lim (depan, tengah) melawat salah sebuah pameran pada Majlis Perasmian Kempen Santuni Haiwan #luvyourpet MDSB 2024 dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Penguatkuasaan Bersepadu Haiwan Berkeliaran di Dewan Seri Bernam di sini pada Selasa.
Suee Lim (depan, tengah) melawat salah sebuah pameran pada Majlis Perasmian Kempen Santuni Haiwan #luvyourpet MDSB 2024 dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Penguatkuasaan Bersepadu Haiwan Berkeliaran di Dewan Seri Bernam di sini pada Selasa.

MoU itu dilaksanakan antara Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Suee Lim memberitahu, pada masa ini kebanyakan PBT berdepan kekangan kewangan mewujudkan pusat perlindungan haiwan terbiar berikutan kosnya yang tinggi.

Jelas beliau, pembukaan pusat perlindungan itu bagi tempoh jangka masa panjang memerlukan perbelanjaan jutaan ringgit terutama membabitkan kos makanan, penjagaan dan kesihatan haiwan.

"Itu sebab kita galakkan orang ramai datang mengambil kucing dan anjing terbiar di pusat perlindungan.

"Langkah ini dapat mengurangkan tanggungan kewangan PBT dan jika lebihan haiwan ini dikumpul dalam rumah perlindungan ia akhirnya menjadi satu bebanan besar kepada PBT yang memerlukan kos tinggi," tambah beliau.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing bagi mengurangkan populasi haiwan terbiar.

Katanya, usaha itu boleh dilakukan dengan kerjasama antara PBT dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

"Saya yakin kaedah seperti ini dapat mengurangkan keresahan rakyat sekali gus menjadikan PBT di Selangor proaktif ke hadapan dalam menyayangi haiwan terbiar," tambahnya.

Sinar Harian pada 1 April lalu melaporkan, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita berkenaan perkembangan operasi penangkapan anjing berkeliaran khususnya di Selangor.

Baginda mencadangkan PBT mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk yang sayangkan haiwan.

Baginda bertitah, PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!