Antara akikah dan korban, mana perlu didahukan?

KETIKA Hari Raya Aidiladha, terdapat segelintir orang melakukan ibadah akikah juga. Ketahui hukumya menurut Islam. -Foto: Canva
KETIKA Hari Raya Aidiladha, terdapat segelintir orang melakukan ibadah akikah juga. Ketahui hukumya menurut Islam. -Foto: Canva
A
A
A

BAHANG pelaksanaan ibadah korban kian terasa. Maklum sahajalah, Hari Raya Aidiladha bakal menjelma tidak lama lagi.

Pada masa ini juga, pakej-pakej korban rancak dipromosikan di mana-mana baik menerusi platform fizikal mahupun media sosial.

Bahkan ketika ini juga, ada juga individu tidak melepaskan peluang untuk melakukan ibadah akikah sama ada untuk anak masing-masing atau diri sendiri.

Ini kerana terdapat segelintir orang yang mungkin tidak berpeluang melakukan akikah sebelum ini kerana faktor kurang kemampuan.

Lebih-lebih lagi mereka yang sudah dewasa, tetapi belum sempat akikah ketika masih kecil. Justeru, mana perlu didahulukan antara ibadah korban dan akikah bagi kelompok itu?

Sebelum menghuraikan jawapannya, Jabatan Mufti Negeri Sembilan terlebih dahulu menjelaskan tentang perbezaan antara ibadah korban dan akikah.

Jelasnya, ibadah korban hanya boleh dilakukan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah sahaja bertujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan menghayati semangat pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS ketika ALLAH SWT menguji Baginda menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS.

“Sementara itu, ibadah akikah pula dilakukan bermula setelah kesemua tubuh bayi itu keluar dari perut ibunya sehingga dia baligh. Setelah baligh, dia sendiri akan melakukan akikah ke atas dirinya sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Ibadah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan bertujuan untuk menyatakan rasa gembira ibu bapa yang dikurniakan anak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

JIKA berkemampuan, laksanakan kedua-dua ibadah korban dan akikah sekali. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama
JIKA berkemampuan, laksanakan kedua-dua ibadah korban dan akikah sekali. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

Bagi menjawab persoalan keutamaan antara ibadah korban dan akikah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan, terdapat dua situasi boleh dirungkaikan.

Dalam situasi pertama, katanya, dari segi tuntutan, semestinya ibadah akikah perlu diutamakan.

"Ibu bapa bertanggungjawab untuk melaksanakan akikah ke atas anak masing-masing.

"Bagaimanapun, sekiranya si anak sudah dewasa (baligh), maka dia boleh melaksanakan akikah untuk dirinya sendiri," coretnya.

Satu lagi situasi adalah melibatkan waktu yang mana bulan Zulhijah menghampiri kepada waktu korban, ungkapnya.

"Maka lebih utama melaksanakan ibadah korban terlebih dahulu. Ini kerana pelaksanaannya hanya selama empat hari iaitu bermula pada 10 hingga 13 Zulhijah sahaja.

"Sedangkan, akikah pula boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Andai berkemampuan, boleh laksanakan kedua-duanya sekali," ujarnya.

Bagi mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban nanti, usah sesekali menggabungkan niat akikah dan korban dalam satu masa.

Walaupun kedua-dua ibadah berkenaan dari jenis yang sama iaitu sembelihan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, akikah dan korban merupakan ibadah sunat yang membawa maksud tersendiri serta berbeza antara satu sama lain.

"Pendapat ini juga lebih bersifat ihtiyat (hati-hati) dan keluar daripada perselisihan yang ada," katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Haji dan Korban Siri ke-40: Hukum Menggabungkan Niat Korban dan Akikah untuk Satu Sembelihan yang disiarkan menerusi laman web pejabat mufti berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!