Kerajaan peruntuk dana RM100 juta, galak inovasi kewangan Islam - Anwar

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan terhadap inovasi kewangan Islam melalui perkongsian dan mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM100 juta untuk meningkatkan lebih banyak inovasi sedemikian.

Selaras dengan komitmen itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan dua inovasi kewangan gabungan yang baharu -- program perintis memastikan perniagaan halal mengamalkan konsep hijau atau mesra alam, dan ‘Projek Hassan’.

Program perintis perniagaan halal yang mengamalkan konsep hijau itu merupakan kerjasama antara Bank Pembangunan Islam (IsDB), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia.

Anwar berkata, program itu bertujuan membantu perniagaan halal di Malaysia dalam peralihan kepada amalan yang lebih hijau dan mampan dengan menyediakan pembinaan kapasiti teknikal, peralatan untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau, pembiayaan peralihan dan pensijilan.

Sementara itu, Projek Hassan ialah kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah, Majlis Pimpinan MIFC (MLC), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia dan Universiti INCEIF, yang bertujuan meningkatkan inisiatif zakat untuk meningkatkan status sosio-ekonomi golongan asnaf di Kedah.

"Melalui kerjasama ini, RM10 juta disasarkan bukan sahaja untuk mengukuhkan komuniti asnaf tetapi juga menambah baik faedah langsung hasil tuaian untuk pesawah,” kata beliau dalam ucap tama di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, Malaysia juga mesti berinovasi dan memanfaatkan konsep wakaf.

"Pada Mac 2024, kerajaan meluluskan geran sebanyak RM100 juta ke arah penubuhan dana wakaf MARA, menumpukan kepada pendanaan sumbangan swasta bagi tujuan melanjutkan pelajaran dan keusahawanan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah melanjutkan insentif cukai untuk menampung inisiatif wakaf berasaskan saham dan memperuntukkan sebanyak RM500 juta pembiayaan pinjaman untuk pembangunan hartanah di atas tanah wakaf.

"Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memperkenalkan pengumpulan dana untuk pembangunan wakaf melalui pembiayaan rakan setara dan platform pendanaan awam ekuiti, dengan kerajaan menyediakan pembiayaan padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) pada kadar pembiayaan sifar peratus,” kata Anwar.

Perdana Menteri juga mengalu-alukan lebih banyak inisiatif dalam bidang ini yang akan meluaskan skop ekonomi dan mewujudkan pelbagai peluang bagi perniagaan kecil dan sederhana serta individu yang kurang bernasib baik.

"Transformasi bukan sahaja mengenai menangani jurang, ia juga mengenai menerima dan menyesuaikan diri dengan masa depan,” katanya.

Tambahan pula, Anwar berkata, mencapai pematuhan Syariah dalam aset digital dan kontrak pintar semata-mata tidak mencukupi.

"Kita mesti memastikan teknologi ini dibangunkan dan dilaksanakan dengan cara untuk memperkasakan rakyat kita, mewujudkan perpaduan dan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan negara kita dan memberi kita lebih banyak kebebasan untuk membina masyarakat yang mampan dan berdaya tahan,” kata beliau. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!