3,594kg tembakau awet dirampas
KOTA BHARU - Sebanyak 3,594 kilogram tembakau awet bernilai RM100,000 tidak termasuk cukai yang disimpan di kawasan semak tidak sempat dijual apabila dirampas pihak berkuasa pada 12 Januari lalu.
Rampasan dilakukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan di Kampung Pangkal Jenereh, Machang dalam satu serbuan pada jam 9 malam sebelum menyerahkan tembakau berkenaan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor berkata, berdasarkan intipan lebih seminggu, bahan berkenaan disimpan hampir sebulan di kawasan semak yang menunggu masa untuk dijual.
Menurutnya, taktik mengumpulkan tembakau sedikit demi sedikit di lokasi tersembunyi dan mengeluarkan dalam jumlah kecil kepada pembeli menjadi modus operandi terbaru bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bagaimanapun taktik itu tidak menggunakan kenderaan besar seperti sebelum ini tetapi berjaya dikesan pihak berkuasa. Hasil kerjasama Aksem dan LKTN telah merampas 179 plastik berisi tembakau awetan matahari dan tembakau awetan pemanas.
“Tembakau tersebut disyaki dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat dan disimpan sementara sebelum dijual ke pasaran tempatan bagi mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat LKTN di Kubang Kerian.
Turut hadir, Timbalan Komander Negeri (Operasi) Aksem Kelantan, Mohd Rosli Mat Nun dan Pengarah Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan LKTN, Mohd Fakri Mohd Nor.
Samsudin berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana hanya terdapat longgokan plastik tembakau tanpa dipantau individu.
Menurutnya, kesalahan terbabit termaktub mengikut Seksyen 51(1) Akta LKTN 2009 [Akta 692] yang memperuntukkan tiada siapa pun boleh menyimpan atau mempunyai dalam miliknya tembakau diawet melainkan mendapat kebenaran bertulis pihaknya.
Katanya, mana-mana individu atau syarikat yang gagal mendapatkan kelulusan bertulis daripada LKTN boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Tambah beliau, LKTN dan Aksem akan terus bekerjasama meningkatkan usaha membanteras kemasukan dan keluaran tembakau dari negara jiran.
“Kita sudah memberi amaran kepada pihak terbabit selain meningkatkan kawalan bagi mengekang kegiatan membawa masuk tembakau secara haram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!