Kaji semula kadar cukai tanah untuk tingkat hasil negeri - Lai Heng

Lai Heng
Lai Heng
A
A
A

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng mencadangkan kadar cukai tanah dikaji semula sebagai salah satu cara untuk meningkatkan hasil kerajaan Pulau Pinang.

ADUN DAP itu berkata, hasil kerajaan negeri terdiri daripada tiga komponen besar iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terima bukan hasil.

Menurutnya, anggaran hasil negeri yang terbesar adalah daripada komponen hasil bukan cukai sebanyak RM278 juta bersamaan dengan 52.1 peratus.

"Jika kita nak tingkatkan hasil kerajaan negeri, kaedah yang paling cepat adalah kaji semula kadar cukai tanah. Bagaimanapun, cadangan ini memang tidak akan mendapat sambutan baik oleh rakyat.

"Seperti baru-baru ini, pengumuman kenaikan bil air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Walaupun kadar air tidak dinaikkan sejak 2015, tidak mendapat sambutan.

"Tetapi, jika PBAPP tidak menaikkan kadar air, bagaimana PBA boleh menampung kos operasi yang kian meningkat dan mempunyai dana untuk melaksanakan projek naik taraf supaya bekalan air tidak terjejas?" katanya ketika membahaskan ucapan perasmian Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.

Kata beliau, sejak tahun 90-an, Pulau Pinang tidak pernah mengkaji semula kadar cukai tanah malah ada kawasan yang sudah dibangunkan sebagai bandar namun masih dikenakan kadar cukai luar bandar.

Lai Heng berkata, selain cukai tanah, kaedah yang boleh diambil adalah menjual tanah kerajaan kepada pihak swasta untuk pembangunan bagi mendapatkan hasil yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Sejak dahulu, kerajaan negeri pernah menjual tanah kepada pihak swasta antaranya Syarikat IJM di Jelutong dan Syarikat E&O di Tanjong Tokong semasa pimpinan BN.

"Pada tahun 2011, kerajaan negeri telah menjual tanah Bayan Mutiara seluas 41.7 hektar kepada Syarikat Ivory dengan harga RM1.07 bilion.

"Hasil jualan tanah yang diterima, telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan negeri dan menambah rizab kerajaan negeri," ujarnya.

Menurutnya, selain menjual tanah, kerajaan negeri boleh meningkatkan terima bukan hasil dengan membuat rayuan kepada kerajaan Pusat untuk memberi geran tunai tambahan sebanyak RM500 juta setiap tahun.

"Ia sebagai balasan kerajaan negeri yang selalu mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan eksport yang tertinggi dalam negara," katanya.

Sementara itu, Lai Heng menggesa kerajaan Pulau Pinang agar menyenaraihitamkan kontraktor yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu projek.

Menurutnya, orang awam selalu mengadu kebanyakan projek kerajaan sentiasa lewat untuk disiapkan daripada tempoh jangka masa yang ditetapkan.

Beliau memberi contoh projek naik taraf tandas di bangunan Komtar yang mengambil masa begitu lama sedangkan kontraktor diberi masa tiga bulan untuk menyiapkan tandas tersebut.

"Kerajaan sepatutnya meneliti dan memandang serius terhadap status kerja projek itu selain menyenaraihitamkan kontraktor yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu projek.

"Begitu juga dengan pegawai yang tidak dapat menjalankan pemantauan projek dengan baik, tindakan tatatertib harus dikenakan agar projek dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan sekali gus menjaga imej kerajaan negeri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!