Penghadang halang pemandangan Gunung Fuji dirosakkan
KOFU - Beberapa lubang telah ditemukan pada penghadang besar yang dipasang untuk menghalang pemandangan indah Gunung Fuji selepas kritikan terhadap tingkah laku pelancong di lokasi tular merakam gambar itu, kata pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Selasa.
Selepas memasang penghadang berwarna hitam itu pada 21 Mei untuk menghalang pengunjung daripada berkumpul di hadapan sebuah kedai serbaneka Lawson di Fujikawaguchiko, wilayah Yamanashi, pihak berkuasa itu mengesahkan penemuan lubang pertama pada hari berikutnya dan jumlahnya kini meningkat kepada kira-kira 10 lubang.
"Kami menjangkakan perkara ini mungkin berlaku suatu hari nanti, tetapi tidak secepat ini," kata seorang pegawai PBT, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Kyodo.
Pihak berkuasa tempatan juga merancang untuk membaiki skrin itu dengan segera sambil menyiarkan notis meminta pengunjung untuk tidak menyentuhnya.
Pada mulanya, pihak berkuasa menempatkan pengawal keselamatan dan menyiarkan amaran dalam bahasa Inggeris selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai peningkatan jumlah pelancong yang melanggar peraturan lalu lintas dan meletakkan kenderaan secara haram di kawasan itu.
Namun, selepas mendapati langkah-langkah tersebut tidak banyak membantu memperbaiki keadaan, pihak berkuasa tempatan memutuskan untuk memasang penghadang berkenaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!