Sedih tidak dapat beri hadiah untuk ibu

Siti Zaharah menunjukkan keputusan SPM yang diterima pada Isnin
Siti Zaharah menunjukkan keputusan SPM yang diterima pada Isnin
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anak yatim piatu sedih kerana tidak dapat memberi hadiah kepada ibunya sempena kejayaan cemerlang mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Isnin.

Bekas pelajar Maahad Mardiah Tarbiah, Panchor, Siti Zaharah Ismail, 18, berkata, pemberian hadiah buat ibunya menjadi rutin setiap kali dia mendapat kejayaan dalam peperiksaan atau sesuatu yang menggembirakan dirinya.

Menurut Siti Zaharah, lebih menyedihkan apabila ibunya, Sukriah Ismail 'pergi' akibat serangan jantung ketika dia sedang menghadapi hari kedua peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) Februari lalu.

"Saya sangat rapat dengan ibu selepas bapa, Ismail Ibrahim meninggal dunia dua tahun lalu akibat strok pangkal otak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Belanga pada Selasa.

Siti Zaharah mendapat semua A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Perniagaan, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah.

Siti Zaharah (kanan) menunjukkan keputusan SPM yang diterima kepada kakaknya, Nurkhairunnisa
Siti Zaharah (kanan) menunjukkan keputusan SPM yang diterima kepada kakaknya, Nurkhairunnisa

"Saya memang tidak menyangka mendapat semua A dalam peperiksaan itu berikutan tekanan dan kesedihan melampau yang dihadapi selepas kematian ibu," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu juga mengakui tidak dapat membayangkan melalui kesukaran tanpa ibunya, namun adik-beradik yang lain menjalankan tanggungjawab menjaganya dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Dia kini menumpang kasih sayang kakaknya, yang juga suri rumah, Nurkhairunnisa Ismail, 24, dan abang ipar, Rushaidam Rusli, 33, seorang pemandu treler.

"Saya turut dibantu abang sulung, Mohd Syazwan Ismail selain guru dan rakan yang banyak memberi sokongan untuk berjaya," katanya.

Bagi memenuhi impiannya bergelar guru, Siti Zaharah sudah mengisi beberapa borang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Siti Zaharah sebelum itu menerima kunjungan Timbalan Pengarah (Akademik) Yayasan Islam Kelantan (YIK), Mohd Zaki Deraman dan beberapa guru dari Maahad Tarbiah Mardhiah, Panchor Kemumin.

Maahad Mardiah Tarbiah, Panchor merupakan sekolah di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!