[VIDEO] Subsidi diesel khas untuk pemegang 'fleet card'

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pemilik kenderaan diesel persendirian yang menggunakan kenderaan tersebut untuk mengangkut barang bagi kegunaan perniagaan pasar tani dan pasar malam boleh mengemukakan permohonan rayuan untuk memperoleh subsidi diesel ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, hanya mereka yang memiliki 'fleet card' akan dapat menikmati harga diesel bersubsidi selepas kerajaan melaksanakan subsidi bersasar nanti.

"Jadi, paling penting ialah daftar segera kerana macam sekarang, harga jualan diesel masih lagi ada subsidi.

"Tapi apabila subsidi disasarkan, hanya yang ada 'fleet card' dapat beli diesel pada harga subsidi," katanya pada sidang akhbar selepas menyertai Ops Terjah bersepadu di sekitar bandar Kuantan pada Selasa.

Fuziah
Fuziah

Permohonan itu katanya, boleh dikemukakan secara dalam talian melalui pautan MySubsidi Diesel dan akan diselaraskan KPDN.

Fuziah memberitahu, terdapat 23 jenis kenderaan barangan yang layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0.

Katanya, sebelum ini terdapat 14 jenis kenderaan sahaja yang mendapat manfaatnya.

Artikel Berkaitan:

"Antara jenis kenderaan yang layak menerima subsidi diesel termasuk lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van), dan lori rigid (kombinasi).

"Selain itu, bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan, dan lori rigid (sampah) juga layak menerima subsidi," katanya.

Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Negara mengumumkan Kabinet bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Katanya, usaha penyasaran subsidi diesel itu akan memberikan jumlah penjimatan kepada kerajaan secara kasar sekitar RM4 bilion setahun.

Pada Isnin, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani, mulai hari ini.

Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu, boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!