Zii Jia kini kesembilan dunia

Zii Jia menghuni kedudukan kesembilan dalam senarai ranking yang dikeluarkan BWF pada Selasa.
Zii Jia menghuni kedudukan kesembilan dalam senarai ranking yang dikeluarkan BWF pada Selasa.
A
A
A

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mendaki satu anak tangga untuk menghuni kedudukan kesembilan dalam senarai ranking yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa.

Pencapaian tersebut susulan kejayaan pemain berusia 26 tahun itu menjuarai Terbuka Thailand dua minggu lalu dan naib juara Malaysia Masters di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Malah andai Zii Jia berjaya menewaskan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada pusingan pertama Terbuka Singapura pada Rabu, dia berpeluang lompat ke kedudukan ketujuh memintas Kunlavut Vitidsarn di tempat kelapan.

Ia susulan pemain Thailand itu tidak beraksi pada Terbuka Singapura, manakala Ginting ketika ini menghuni ranking ketujuh dunia.

Penganalisis sukan, Zakaria Rahim berkata, Zii Jia perlu layak sekurang-kurangnya ke pusingan kedua di Singapura untuk memotong dua pemain itu.

“Terbuka Singapura menawarkan mata ranking sebanyak 4,320 jika layak ke pusingan kedua. Zii Jia ketika ini mengumpul 75,486 mata, Kunlavut 76,808 dan Ginting 79,585.

“Andai layak ke pusingan kedua, Zii Jia akan mengumpul 80,166 mata. Ia cukup untuk mengatasi kedua-dua pemain itu ke ranking ketujuh dunia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sekiranya layak ke final Terbuka Singapura, Zii Jia juga berpeluang untuk mengatasi Li She Feng (China) dan Kodai Naroaka (Jepun) untuk ke ranking kelima dunia sebelum menyertai Terbuka Indonesia bermula 4 Jun.

Artikel Berkaitan:

“Kedudukan ranking ini sangat penting untuk undian menentukan kumpulan pada Sukan Olimpik Paris 2024 nanti,” katanya.

Zii Jia pada Ahad tewas kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-6, 20-22, 21-13 dalam pertarungan akhir Malaysia Masters di Axiata Arena.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!