Kantoi simpan dadah bernilai hampir RM450,000 dalam kereta usang

Kumarasan menunjukkan kereta usang yang digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah.
Kumarasan menunjukkan kereta usang yang digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Taktik dua lelaki menjadikan sebuah kereta usang sebagai tempat penyimpanan dadah akhirnya terbongkar apabila kedua-duanya dicekup polis dalam serbuan di Bukit Indah 13 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, selain menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih tujuh kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM449,825, dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, polis turut merampas 260 peket ganja seberat 1kg, tiga bungkusan syabu (2.1kg), 4,675 biji pil ekstasi (1.95kg) dan pil erimin 5 (1.9kg) yang disimpan di dalam but kereta.

"Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah sejak September lalu adalah dengan menjadikan kenderaan usang sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Tindakan ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa, bagaimanapun helah ini terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan pasukan polis terhadap kereta usang yang berada di kawasan rumah itu.

"Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dijual di pasaran di negeri ini dan boleh digunakan oleh seramai 64,000 penagih," katanya.

Tambah Kumarasan, pemeriksaan terhadap dua suspek yang merupakan pekerja kilang dan penganggur itu mendapati mereka positif dadah jenis ganja dan amphetamine.

Malah katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan dan merusuh.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya kedua-dua suspek tersebut memperolehi bekalan dadah ini dari negeri lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang individu bernama R Selan, 31, beralamat terakhir di Taman Mega Jaya, Ampang, Selangor bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!