Chef Wan mohon maaf, komen gaun Aishwarya Rai hanya gurau

Chef Wan (kiri) membuat permohonan maaf susulan komen beliau terhadap gaun yang dikenakan bintang tersohor, Aishwarya Rai pada Festival Filem Cannes.
Chef Wan (kiri) membuat permohonan maaf susulan komen beliau terhadap gaun yang dikenakan bintang tersohor, Aishwarya Rai pada Festival Filem Cannes.
A
A
A

SHAH ALAM - Cef selebriti terkenal Malaysia, Chef Wan membuat permohonan maaf susulan komen beliau terhadap gaun yang dikenakan bintang tersohor, Aishwarya Rai pada Festival Filem Cannes yang disangka berbaur perkauman sehingga disiasat pihak polis.

Menerusi satu hantaran di laman sosial Instagram, Chef Wan berkata, beliau sama sekali tidak berniat mahu membuat komen berbaur perkauman atau menghina agama sebaliknya ia merupakan tanggapan pertama yang terlintas apabila melihat busana berkenaan.

“Itu bukan niat sebenar saya untuk bersikap perkauman atau burukkan agama Hindu. Sebagai seorang cef televisyen, saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat permohonan maaf kepada semua penganut agama Hindu kerana telah membuat kenyataan sedemikian. Saya minta maaf,” katanya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaitkan gaun Aishwarya Rai dengan Thaipusam, Chef Wan disiasat polis

Sebelum ini media melaporkan, polis mengesahkan Chef Wan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung satu hantaran di media sosial yang bersifat perkauman membabitkan Aishwarya Rai.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kes itu pada 24 Mei lalu.

Komen Chef Wan itu mencetuskan kecaman daripada netizen yang menyifatkan kenyataan berkenaan bersikap perkauman.

Mengulas lanjut, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail berkata, beliau hanya berseloroh dan berkongsi pandangan sebagai pengguna media sosial terhadap gaun yang digayakan pelakon tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya selalu fikir bulu merak itu cantik. Memandangkan kapsyen bertanyakan pemikiran pertama saya melihat pakaian itu, serta-merta saya menaip dan berkata dia membawa kavadi menuju ke upacara Thaipusam di Batu Caves.

“Ini kerana ramai pengikut saya turut meninggalkan komen di situ bahawa ia (busana) itu seolah-olah bulu burung merak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chef Wan turut menzahirkan bahawa beliau terkejut dengan reaksi yang diberikan pengguna media sosial dan menyifatkan mereka kini terlalu sensitif.

Ekoran komen berkenaan, beliau juga menerima pelbagai impak dan bersedia memohon maaf jika tindakan meninggalkan kata-kata itu merupakan satu kesalahan.

“Saya tidak tahu sama ada nak ketawa atau menangis. Jujur saya rasa rakyat Malaysia sekarang begitu sensitif dalam banyak perkara.

“Saya percaya kebenaran dan niat berkata benar, ALLAH mengetahuinya dengan baik. Tak perlu takut jika kita tidak buat kesalahan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Chef Wan mohon maaf, komen gaun Aishwarya Rai hanya gurau #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Selebriti #Artis #ChefWan #AishwaryaRai #Maaf #Gaun #Busana #Perkauman #Agama #FestivalFilemCannes

Dramatic Military - Starla Music

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!