Sistem ART bertingkat di Johor dimuktamad Ogos ini

Mohamad Fazli (tiga dari kanan) dan Ting Han (dua dari kiri) menunjukkan PlanMalaysia@Johor selepas Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Iskandar Puteri, pada Selasa.
Mohamad Fazli (tiga dari kanan) dan Ting Han (dua dari kiri) menunjukkan PlanMalaysia@Johor selepas Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Iskandar Puteri, pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memuktamadkan pembinaan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat dengan kos hampir RM7 bilion di bandar raya ini pada Ogos ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkara tersebut sudah dibincangkan dalam Kabinet dengan cadangan ART bertingkat itu melibatkan 32 stesen di tiga laluan membabitkan jarak lebih 50 kilometer.

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli

"Selepas pelaksanaan Transit Aliran Bas (BRT) dibatalkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kajian baharu dibuat melibatkan sama ada sistem ART atau Transit Aliran Ringan (LRT).

"Setelah kajian dibuat, kerajaan negeri bersetuju. Jadi MOT sedang melaksanakan kajian mereka sebelum memberi kata putus tentang hala tuju projek ini Ogos ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Hotel Forest City Golf di sini pada Selasa.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.

Mohamad Fazli berkata, Johor memilih sistem ART bertingkat kerana boleh siap lebih cepat berbanding LRT.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kita mahu ia siap sepenuhnya sebelum Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang membangunkan satu aplikasi bagi membolehkan pengguna jalan raya di Johor menghantar aduan tentang pelbagai kerosakan jalan di kawasan masing-masing.

Mohamad Fazli berkata, aplikasi 'Pusat Aduan Bersepadu' dijangka dapat beroperasi tahun ini yang dibangunkan bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan tentang kerosakan seperti jalan berlubang, lampu rosak dan lain-lain.

"Aplikasi ini juga akan menyalurkan aduan berkenaan kepada pihak bertanggungjawab terhadap lokasi jalan raya itu, sama ada di bawah agensi Pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT)," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti 2,600 lokasi jalan rosak di seluruh Johor pada 2022 dan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.

"Kita berharap jumlah itu akan dapat dikurangkan bawah 1,000 pada tahun ini. Ini termasuklah juga jalan-jalan yang rosak akibat kejadian banjir.

"Selain itu, kita juga telah kenal pasti 187 lokasi 'hotspot' kesesakan jalan raya dengan 69 daripadanya di Johor Bahru. Bagaimanapun usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan itu mungkin perlu melibatkan pembinaan laluan baharu," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!