[VIDEO] 'Kami mahu tutup buku lama, buka buku baru'
ALOR SETAR - Pasangan tular yang selamat dinikahkan mahu membuka lembaran hidup baharu dan berharap masyarakat tidak memandang serong lagi kehidupan mereka selepas ini.
Mohd Azlan Ishak, 36, dan isterinya, Nor Hidayu Halim, 34, mengakui kesilapan yang dilakukan oleh mereka sebelum ini, namun berazam untuk membaiki kehidupan mereka ke arah lebih baik.
Menurut Mohd Azlan, dia berharap selepas ini tidak ada lagi mana-mana pihak yang bersangka tidak baik kepada keluarganya.
"Saya telah menjalankan kewajiban saya sebagai orang Islam dan menghalalkan hubungan saya dengan Nor Hidayu.
"Selepas ini kami mahu tutup buku lama dan buka buku baru menjalani kehidupan kami," katanya semasa majlis akad nikah mereka di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah pada petang Selasa.
Terdahulu, kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.
Jelas Mohd Azlan, dia reda dengan apa yang berlaku dan pada waktu sama bersyukur ramai pihak tampil membantu serta memberikan sumbangan kepada anaknya, Mohd Aarriz Zafran berusia 11 bulan.
"ALLAH yang menggerakkan hati orang lain untuk membuat video dan ramai bantu, saya bersyukur," ujarnya lagi.
Sementara itu, Nor Hidayu pula berkata, sumbangan yang diterima daripada masyarakat akan digunakan untuk rawatan Mohd Aarriz yang menghidap pelbagai penyakit.
Menurutnya, mereka juga akan menyediakan bilik khas untuk anak lelakinya itu di rumah mereka dengan memasang pendingin hawa kerana tidak boleh terdedah dengan habuk disebabkan turut menghidap penyakit asma.
Dalam pada itu, Nor Hidayu berkata, kes yang tular ini juga menyebabkan dia tidak dapat tidur dan tiada selera makan selama empat hari.
"Pegawai kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang datang ke rumah menasihatkan saya agar tidak melihat media sosial buat masa sekarang," katanya.
Pada Selasa, Mohd Azlan Ishak, 36 dan Nor Hidayu Halim, 34 sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.
Nor Hidayu yang memakai baju sedondon putih dengan Mohd Azlan menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.
Sementara itu, Muhammad Hazamer yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan tersebut.
Sebelum ini, pasangan tersebut tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun timbul kontroversi apabila pasangan berkenaan diarahkan berpisah kerana tiada hubungan perkahwinan.
Muhammad Hazamer berkata, pasangan tersebut terpaksa difaraqkan (dipisah) buat sementara waktu dan pihaknya akan cuba membantu untuk melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!