Empat rumah terbakar, enam kucing mati terhidu asap
SUNGAI PETANI - Anggota bomba berusaha menyelamatkan enam kucing yang dipercayai lemas akibat terhidu asap dalam kebakaran empat rumah di Jalan Pantai Merdeka, Taman Seri Kota, di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, kesemua haiwan gagal diselamatkan walaupun anggota bomba telah sedaya upaya memberi bantuan kecemasan demi menyelamatkan nyawa kucing itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran rumah pada jam 5.53 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota BBP Tikam Batu, BBP Sungai Petani dan BBP Kota Kuala Muda digerakkan ke lokasi kejadian bersama empat jentera.
"Setiba di lokasi kebakaran, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan empat rumah dengan anggaran kemusnahan antara 10 hingga 85 peratus.
"Susulan itu, anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal pada jam 6.36 petang dari merebak ke rumah lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammad Syukri memaklumkan, setakat ini, punca dan kerugian masih dalam siasatan bomba.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!