Malaysia perlu lebih fokus hubungan ekonomi bersama China - Wong Chen
SHAH ALAM - Malaysia perlu lebih fokus dalam memperkukuh hubungan bersama China kerana negara tersebut sedang berkembang maju dalam sektor industri dan pembuatan teknologi tinggi.
Ahli parlimen Subang, Wong Chen berkata, pembangunan pesat dalam tempoh 30 tahun ke belakang menyebabkan ia memberi impak besar terhadap perdagangan antarabangsa antara China dan Malaysia.
Menurutnya, peningkatan China dalam pelbagai industri turut mendapat perhatian negara-negara maju sehingga memberi kesan terhadap Malaysia.
“Kita perlu memberi fokus dalam hubungan ekonomi bersama China kerana kita beruntung tidak terpalit terlalu banyak dalam isu kedaulatan seperti negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam atau Filipina.
“China membangun dengan sangat cepat terutama dalam bidang teknologi dan kita tidak terfikir mereka mampu melonjak naik sehingga memberi persaingan kepada beberapa industri di Eropah.
“Keadaan itu meningkatkan lagi isu geopolitik iaitu perang dagang China di peringkat antarabangsa. Malaysia turut terkesan dengan keadaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar siri ke-442 yang bertajuk 'China pengganti Amerika Syarikat?' yang dihoskan oleh Felo Operasi Pusat Pengajian Perang Saraf Media UiTM, Dr Nirwandy Mat Nordin di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari UiTM, Dr Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz dan Pemerhati politik antarabangsa, Nasaie Ismail.
Mengulas lanjut, menurut Chen, hubungan perdagangan sahaja tidak cukup, sebaliknya Malaysia perlu membuat polisi yang lebih baik untuk memberi faedah kepada negara.
Ujarnya, polisi luar negara perlu berubah dari tahun ke tahun dan juga kepimpinan negara dalam mencipta hubungan antarabangsa yang lebih baik.
“Kita perlu memikirkan polisi yang lebih baik untuk memberi faedah kepada Malaysia. Itu lebih penting,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!