Malaysia kena belajar dari China, tidak anak tirikan negeri pembangkang
SHAH ALAM - Malaysia perlu belajar daripada China yang tidak menganaktirikan negeri pembangkang kerana apabila ada yang dimundurkan, mana-mana kerajaan yang mengambil alih pentadbiran Persekutuan akan berhadapan masalah untuk membangunkan negeri itu.
Pemerhati politik antarabangsa, Nasaie Ismail berkata, pada dasarnya kerajaan dan pembangkang tidak boleh saling melakukan sabotaj.
“Siapa sahaja yang jadi kerajaan di peringkat Persekutuan, jangan kita anak tirikan negeri-negeri pembangkang sebab bila negeri tersebut dimundurkan, apabila bertukar sahaja kerajaan dan walau siapa sahaja yang ambil alih, mereka akan berhadapan dengan masalah.
“Sama juga di pihak yang bergelar pembangkang. Tidak kisahlah pada zaman (pentadbiran Perdana Menteri) mana sekalipun (sama ada) zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Mahyuddin Yassin atau Datuk Seri Najib Tun Razak, meskipun apa sahaja dasar pembangunan kerajaan akan ada sekelompok yang suka nak tengok ringgit kita jatuh, harga barang mahal dan ekonomi kita merosot.
“Sebab apa? Sebab itu bagi kredit pada dia untuk menjatuhkan kerajaan. Dia tak tahu bila ekonomi negara jatuh automatik siapa sahaja yang tukar jadi kerajaan dia akan hadapi masalah untuk membangunkan balik (ekonomi),” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi 442 bertajuk China pengganti Amerika Syarikat (AS)? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Wacana berkenaan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen serta dihoskan Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
Mengulas lanjut, Nasaie menegaskan, di China walaupun kerajaan yang memerintah berbeza fahaman politik dan pendirian dengan wilayah di bawahnya seperti Xinjiang dan Taiwan tetapi kedua-dua pihak tidak pernah saling mensabotaj dari sudut pembangunan ekonomi masing-masing.
Menurutnya, isu dan konflik dalaman kerajaan China dengan Taiwan, Xinjiang atau Uyghur tidak menjejaskan keadaan ekonomi mereka dan ia dibuktikan menerusi data-data yang direkodkan.
“Kalau kita tengok data ekonomi Taiwan yang dilihat pro-AS, sebanyak 22 peratus daripada eksport Taiwan pergi kepada China berbanding eksport Taiwan ke AS sebanyak 15 peratus sahaja.
“Kemudian kalau kita pergi ke Xinjiang sendiripun di sebalik penindasan yang berlaku kepada sesetengah etnik di sana, Xinjiang antara wilayah yang membangun pesat bahkan kalau kita tengok dari segi peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasarnya (KDNK) pada 2023, ia lebih tinggi daripada KDNK keseluruhan China,” ujarnya.
Nasaie menambah, China mencatatkan kenaikan KDNK sebanyak 5.2 peratus namun Xinjiang merekodkan peningkatan sebanyak 6.8 peratus.
Kata beliau, Xinjiang juga merupakan wilayah yang menerajui eksport dari China ke Asia Tengah seperti negara Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan.
“Ada satu kajian kalau tidak silap saya ia dilakukan Harvard Kennedy School pada 2003. Hasil kaji selidik itu mendapati sebanyak sebanyak 86 peratus penduduk China menyokong kerajaan mereka pada masa itu dan pada tahun 2016 pula didapati jumlah sokongan itu meningkat kepada 93 peratus.
“Menyokong kerajaan di sini bukan (bermakna) dari segi menyokong (dasar) politik sepenuhnya sebab di sana ada penentangan kepada kerajaan, parti komunis dan sebagainya tetapi ia dari segi menyokong dalam konteks dasar pembangunan kerajaan,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!