Jadikan al-Quran bahan bacaan setiap isi rumah umat Islam - Tengku Hassanal
KUANTAN - Setiap umat Islam diseru menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan utama di rumah.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah pada Selasa.
Baginda bertitah, setiap isi rumah bukan sahaja perlu mempunyai kitab suci itu, tetapi juga senaskhah tafsir al-Quran.
"Wujudkan waktu tertentu untuk setiap ahli keluarga duduk membaca dan tadabbur al-Quran secara berjemaah.
"Usaha daripada setiap isi rumah umat Islam ini akan menjadikan negara kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan ALLAH sebagaimana firmannya dalam surah Al- A'raf ayat 204," titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah, pemilihan tema 'Al-Quran dihayati negara diberkati' pada MTHQK kali ini sangat bermakna kepada seluruh umat Islam.
Titah baginda, kalam ALLAH itu bukan sekadar untuk dipertandingkan bacaan atau majlis tilawah semata-mata.
"Sebaliknya, sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab untuk bersama-sama menghayati isi kandungan dan pengajarannya.
"Menghayati al-Quran sebagai panduan lengkap kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan keluarga, masyarakat, penjagaan alam sekitar, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan dan lain-lain," titah Tengku Hassanal yang memaklumkan manfaat al-Quran tidak dapat disangkal sama sekali, malah kebaikannya merangkumi umat manusia sejagat.
Baginda turut berkongsi mengenai trend di media sosial iaitu 'Non Muslim Reading The Quran' yang digerakkan oleh pempengaruh Megan Rice.
"Beliau (Megan Rice) yang telah memeluk Islam pada akhir tahun lalu, amat kagum dengan al-Quran yang mampu menjawab semua persoalan.
"Justeru, sekiranya orang barat dan bukan Islam pun memandang tinggi al-Quran, kenapa tidak kita?" titah baginda.
Baginda juga berharap setiap umat Islam berusaha memartabatkan agama melalui penubuhan institusi pendidikan Islam dengan mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.
"Setiap institusi ini harus beroperasi berdasarkan ilmu yang benar agar pihak berkuasa dapat memberikan bantuan dan kemudahan demi kebaikan dan kebajikan generasi al-Quran," titah Tengku Hassanal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!