Pantau jualan produk tiruan di media sosial
BOLEH dikatakan saban hari sejak tahun lalu, kerap berlegar posting dalam media sosial terutama di Facebook mengenai kehebatan dan keajaiban sejenis 'ubat titis mata' yang kononnya boleh memulihkan pelbagai penyakit mata seperti rabun, silau dan katarak dalam masa singkat tanpa perlu melakukan pembedahan.
Bagi menambah keyakinan orang ramai, pihak berkenaan atau lebih tepat digelar scammer produk menggunakan gambar, video dan suara pakar mata terkenal yang selalu muncul di kaca televisyen untuk menguar-uarkan lagi kehebatan ubat titis mata itu yang dikatakan dicipta oleh saintis Jepun.
Melihat kepada ratusan jumlah netizen yang menanda 'Like' pada posting produk berkenaan, mungkin sudah terlalu ramai yang berdepan pelbagai masalah mata telah membeli produk tersebut yang dijual pada harga diskaun RM29 sekotak jika beli lebih daripada dua kotak.
Agak melegakan pada Isnin, polis memaklumkan telah menahan tujuh individu termasuk dua warga asing di sekitar Selangor pada 21 dan 22 Mei lalu kerana disyaki terlibat dengan sindiket cubaan menipu memasarkan produk kesihatan menggunakan gambar dan video milik pakar mata tersebut.
Maka, terbongkarlah satu penipuan yang telah lama dibiarkan berlegar di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan yang diterima, sindiket ini didakwa telah menggunakan gambar dan video pengadu yang juga seorang pakar perubatan terkenal bagi mempromosikan produk kesihatan sindiket tersebut.
Jelasnya, perkara ini hanya diketahui pengadu (pakar mata tersebut) apabila beliau dihubungi oleh beberapa individu lain bagi mendapatkan pengesahan berkenaan kesahihan produk yang diiklankan dalam media sosial.
Melalui kes ini, kita dapat lihat bagaimana sindiket penipuan semakin berani menggunakan gambar serta video individu terkenal bagi memberi gambaran bahawa produk mereka mempunyai kaitan dengan individu atau selebriti yang dipaparkan.
Di media sosial, penjualan pelbagai jenis produk menggunakan nama, muka, suara dan video individu terkenal termasuk yang bergelar penyanyi, pelakon, ustaz dan ustazah boleh dikatakan begitu berleluasa.
Ada selebriti yang digunakan untuk mempromosikan produk-produk berkaitan seks yang diselit pula dengan video lucah.
Ramli berkata, polis percaya penggunaan gambar, suara dan video dipercayai tanpa kebenaran selebriti atau individu terkenal sebagai bahan promosi produk terbabit adalah bagi tujuan memperdaya orang ramai.
Apa yang pelik dan menjadi persoalan adalah kenapa posting produk berkenaan yang ternyata menipu netizen menjadi begitu berleluasa dan boleh beredar serta tersebar begitu lama di media sosial.
Dan persoalan lain adalah kenapa amat lambat penjualan produk sedemikian dikesan oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seperti ubat titis mata ciptaan Jepun itu, produk kesihatan palsu itu telah tersebar begitu lama di media sosial dan bagi orang ramai pula, mereka ada yang beranggapan produk tersebut telah mendapat 'restu' daripada KKM apalagi scammer menyalah guna suara dan wajah pakar mata terkenal tersebut.
Begitu juga dengan produk lain yang dipromosikan secara meluas di media sosial dan dapat pula bertahan sebegitu lama berlegar di media sosial sehingga ramai menjadi mangsa pembelian produk palsu yang dijual pada harga yang mahal.
Lebih malang lagi jika sesuatu produk kesihatan yang dipasarkan dalam media sosial adalah palsu dan penggunaan produk tersebut dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan pengguna seperti ubat titis mata dari Jepun tersebut.
Selain tindakan pihak berkuasa, mangsa penipuan produk tiruan perlu berani mengingatkan netizen lain mengenai penipuan yang berlaku dalam ruang komen apabila ada posting mengenai sesuatu produk yang meragukan dan perlu hentikan 'beli lain, dapat lain' serta wang terbang sia-sia angkara scammer produk.
* Marzuki Yusoff adalah Penyunting Sinar Harian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!