Pekebun khuatir tak layak

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Adzmi
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Adzmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengkaji semula pelaksanaan bantuan subsidi diesel Budi Madani bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dinikmati oleh petani dan pekebun kecil secara menyeluruh.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula syarat yang mengehadkan minimum jualan pertanian sebanyak RM50,000 hingga RM300,000 setahun kerana subsidi sepatutnya diberikan mengikut keluasan ladang dan bukan hasil jualan.

“Untuk melayakkan memohon subsidi tersebut, pekebun kecil kelapa sawit contohnya perlu mendapatkan hasil jualan RM50,000 setahun atau RM4,166 sebulan.

“Pada purata harga RM700 satu tan, pekebun kecil perlu menghasilkan sebanyak 72 tan buah sawit setahun, bersamaan dengan enam tan setiap hektar sebulan.

“Hakikatnya pekebun kecil masa kini, purata penghasilan mereka adalah sebanyak 15 tan sehektar dalam setahun atau 1.25 tan sehektar sebulan,” jelasnya.

Tambah beliau, jika kerajaan meneruskan syarat tersebut, pekebun kecil mesti mempunyai keluasan ladang minimum lima hektar untuk memenuhi keperluan pusingan perniagaan RM50,000 setahun.

Pada masa sama, Adzmi memberitahu, purata milikan ladang pekebun kecil kelapa sawit adalah 3.8 hektar dan hal itu menyebabkan kebanyakan pekebun kecil tidak layak menerima subsidi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pekebun memerlukan sekurang-kurangnya 14 hektar ladang getah untuk melayakkan diri menerima subsidi diesel Budi Madani.
Pekebun memerlukan sekurang-kurangnya 14 hektar ladang getah untuk melayakkan diri menerima subsidi diesel Budi Madani.

Ujar beliau, jika penelitian sama digunakan untuk pekebun kecil getah, mereka pula memerlukan sekurang-kurangnya 14 hektar ladang getah untuk melayakkan diri menerima subsidi itu berdasarkan harga siling Insentif Pengeluaran Getah sebanyak RM3 sekilogram sekarang.

“Sekiranya subsidi ini diteruskan tanpa diperhalusi, kebanyakan pekebun kecil dan petani tidak layak menerima subsidi selain mereka akan turut menanggung tambahan kos yang dikenakan oleh peniaga berikutan peniaga tidak lagi menerima subsidi diesel tersebut.

“PKPKM berharap kerajaan mengkaji semula pelaksanaan subsidi ini, bagi mengelakkan berlakunya banyak persoalan daripada rakyat terutamanya pekebun kecil dan petani berkenaan siapa sebenarnya yang akan menerima manfaat subsidi ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu mengurangkan birokrasi dalam mengisi sistem GeoAgro bagi mendapatkan Budi Madani, termasuk menyediakan pusat sehenti di setiap daerah atau negeri untuk memudahkan petani, penternak dan pengusaha akuakultur.

Nur Asyikin
Nur Asyikin

“Jika tidak faham dengan sistem GeoAgro mereka boleh bertanya soalan secara terus kepada KPKM. Sektor pertanian perlu diurus sebaiknya oleh KPKM demi keterjaminan makanan negara dan juga untuk kestabilan harganya,“ katanya.

Tambah Nur Asyikin, sistem GeoAgro akan lebih bersifat rasmi dan memudahkan pihak kerajaan mengenal pasti petani, penternak dan pengusaha akuakultur dalam usaha menyalurkan bantuan subsidi bersasar.

Bagaimanapun katanya, GeoAgro berbeza dengan Pangkalan Data Utama (PADU).

“Sistem PADU adalah untuk individu sebagai pengguna di Malaysia tetapi GeoAgro dikhususkan kepada industri pertanian yang berfungsi sebagai sistem tapisan untuk mendapatkan bantuan pertanian.

“Sistem PADU lebih kepada bantuan bersasar untuk individu yang berdasarkan pendapatan, tanggungan ahli keluarga, jenis harta yang dimiliki dan sebagainya. Ia jelas sistem PADU bukan bantuan bersasar untuk bentuk perniagaan,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!