Tak perlulah berkira lembu korban makin mahal
RAYA korban tinggal berapa belas hari saja lagi. Sesuai namanya, hari raya itu sinonim dengan ibadah korban.
Ikut data Jabatan Veterinar tahun lalu, bekalan lembu korban 2023 ialah kira-kira 40,000 ekor lembu dan kambing 30,000 ekor.
Dengan kata lain, sekitar 300,000 orang sahaja lakukan ibadah korban dalam negara tahun lalu berbanding 16 juta penduduk Islam.
Walaupun hukumnya sunat, ibadah korban sangat dituntut. Nabi berkorban 100 ekor unta pada tahun ke-10 Hijrah.
Merak Jalanan tak nafikan harga lembu korban terus naik. Di tempat Merak Jalanan dua tahun dulu baru RM750 untuk satu bahagian, tahun ini meningkat RM900 satu bahagian.
Sebaik-baik lembu korban itu adalah yang paling elok, paling cantik dan paling gemuk. Ramai yang tersalah konsep.
Ada yang kata lagi murah lagi bagus. Ada juga yang bandingkan lembu korban dengan durian musang king, kalau rasa mahal tak payah beli.
Merak Jalanan tak salahkan mereka. Mereka nak berjimat sebab kos sara hidup tengah melambung.
Namun kos ternak lembu juga telah naik. Sebab itulah ada orang sanggup seludup lembu dari Thailand khas untuk korban.
Banyak ibadah yang secara tersirat menggalakkan umat Islam menjadi orang kaya atau setidak-tidaknya pandai urus kewangan. Salah satunya ibadah korban.
Merak Jalanan sudah banyak mendengar kisah pekerja stesen minyak, peniaga pasar malah warga asing yang sanggup simpan duit tiap bulan untuk cukupkan bayaran korban.
Khabarnya hidup mereka rasa tak sempurna kalau tak buat ibadah korban bila tiba Aidiladha.
Ramai antara kita yang sanggup menabung untuk membeli gajet, melancong, ubah suai rumah atau membayar duit muka kereta tetapi terlupa ibadah korban.
Tak kisahlah hendak lembu mahal atau murah, yang penting dalam ibadah korban ialah keikhlasan. Buatlah ikut kemampuan dan jangan berkira dengan ALLAH.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!