Lebih 100 bangunan warisan di Perak bakal musnah
BANGUNAN warisan merupakan satu sejarah negara yang amat bernilai dan berharga.
Bagaimanapun disebabkan faktor cuaca dan perubahan penggunaan bangunan, menjadikan tinggalan sejarah ini semakin terbiar dan diancam kerosakan.
Bagi mengekalkan bangunan warisan ini, pemuliharaan dan penyelenggaraan antara yang perlu dijalankan untuk menjamin keutuhannya dari segi reka bentuk dan nilai seni bina.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NORMAWATI ADNAN bersama Persatuan Warisan Perak mengupas situasi terkini bangunan tinggalan sejarah di negeri itu.
Bangunan bersejarah di Perak berisiko diancam kemusnahan sekiranya tiada inisiatif pemuliharaan dan penyelenggaraan digerakkan dengan segera.
Kajian dilakukan Persatuan Warisan Perak mendapati, lebih 100 monumen dan bangunan kini berada dalam keadaan terbiar dan tidak terurus dengan sebahagiannya dirobohkan.
Pengkaji Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, dapatan dilakukan persatuan itu menunjukkan struktur tinggalan-tinggalan sejarah terbabit telah pun berusia lebih 100 tahun dibina seawal 1890-an.
Menurutnya, sebahagian besar bangunan tersebut melibatkan hak milik kerajaan dan persendirian yang sebelum ini digunakan sebagai balai polis, pejabat pos, kediaman pembesar, sekolah, hospital dan premis perniagaan.
“Dalam dapatan ini, kita berjaya menyenaraikan 500 tapak yang mana sebahagian peninggalan ini telah pun didaftarkan sebagai warisan di bawah Jabatan Warisan Negara dan dipelihara oleh Jabatan Muzium Malaysia, Lembaga Muzium Perak dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagaimanapun terdapat sekitar 120 bangunan warisan lagi yang diancam kemusnahan kerana ditinggalkan usang. Ada antara tinggalan sejarah ini yang dirobohkan untuk dibangunkan semula dengan binaan baru,” katanya.
Beliau berkata, di Ipoh dan kawasan daerah Kinta sahaja, kajian itu berjaya menjejaki 39 bangunan telah rosak dan musnah antaranya Rumah 1903 di Kampung Kuchai, Pawagam Majestic di Jalan CM Yusuf dan Pejabat Pos Lama Ipoh di Jalan Sultan Iskandar.
Sementara itu, lapan bangunan di kawasan itu dikategorikan sebagai terbiar termasuklah Kediaman Toh Domba di Kampung Kepayang, Pejabat Warta Kinta di Jalan Datoh, Kubu Perlindungan Bawah Tanah yang terletak di Lapangan Terbang Ipoh dan Masjid Papan yang dibina oleh Raja Bilah sekitar 1884 lalu.
“Taiping yang dikenali sebagai bandar warisan juga telah direkodkan mempunyai 15 tinggalan sejarah yang telah musnah antaranya Maktab Perguruan Taiping dan Balai Polis Lama di Jalan Taming Sari, Stesen Kereta api di Bukit Gantang dan Pejabat Pos Matang,” katanya.
Seorang lagi Pengkaji Warisan Perak, Dr Mohd Jaki Mamat berkata, kurangnya peruntukkan kewangan antara punca beberapa bangunan warisan negeri ini terbiar begitu sahaja.
Begitupun katanya, proses memulihara binaan sejarah lebih mudah sekiranya pemilik atau waris pemilik asal mengambil tanggungjawab bersama.
Ujar beliau, dalam kebanyakan keadaan, pemilik atau waris mengambil sikap lepas tangan dan dilihat hanya mahu bergantung kepada bantuan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi usaha pemuliharaan berkenaan.
“Kos untuk memulihara bangunan tinggalan sejarah ini memerlukan bajet yang sangat besar, jadi agak mustahil untuk kerajaan menanggung sepenuhnya.
“Walaupun perkara ini disedari, masih ramai pemilik dan waris mahu kerajaan yang membiayai semuanya, lebih teruk menjaga bangunan pun mereka serahkan kepada kerajaan,” katanya.
Mohd Jaki berkata, keadaan itu sekali gus merencatkan usaha pihak-pihak berwajib melaksanakan strategi ke arah memperkemaskan semula struktur bangunan dan mengelak daripada kemusnahan.
Pengkaji, Noralisafik Wahid pula menyifatkan adalah penting monumen bersejarah dikekalkan kerana menyimpan bukti kukuh kepada sesuatu peristiwa yang pernah berlaku dahulu.
Menurutnya, peninggalan itu bukan sahaja sebagai rujukan, malah dapat menjadi pengisian dalam pembentukan jati diri generasi akan datang, menghargai pembinaan tamadun bangsa Malaysia.
“Mengambil contoh bangunan Pejabat Warta yang kini tidak dipedulikan sebenarnya memiliki sejarah tersendiri sebagai monumen kewartawanan di Perak.
“Begitu juga rumah kayu peninggalan golongan aristokrat Melayu di Kampung Kuchai yang telah lenyap sedangkan dahulu bangunan itu pernah dijadikan tempat perlindungan kanak-kanak gelandangan sekitar tahun 1935 oleh Kelab Rotary Ipoh lalu dikenali sebagai King George V Sikver Jubilee Rotary Home,” katanya.
Wujudkan garis panduan lengkap pemuliharaan bangunan warisan
Sementara itu, Persatuan Warisan Perak mencadangkan agar satu garis panduan pengurusan disediakan bagi mengawasi dan menjaga sesebuah bangunan warisan.
Presidennya, Mohd Tajuddin Mohd Tahir berkata, panduan itu perlulah meletakkan peruntukan perundangan dan dasar-dasar semasa yang berkaitan dengan pemuliharaan serta dapat diguna pakai ke atas semua pihak berkepentingan terutama pemilik dan orang perseorangan.
Menurutnya, perkembangan semasa menunjukkan, bangunan-bangunan sejarah yang ditinggalkan terbiar itu menimbulkan kekeliruan orang ramai sama ada ia adalah struktur warisan atau sekadar artifak yang tidak lagi berharga.
“Di kawasan bandar-bandar pula, kedudukan bangunan lama yang kelihatan usang tersebut boleh menjejaskan imej negeri di mata pelancong terutama dalam tempoh Tahun Melawat Perak 2024 ini.
“Jadi penting adanya garis panduan yang terperinci dan seragam agar proses memulihara dan menguruskan kawasan, tapak dan bangunan yang berkepentingan sejarah ini dapat dikekalkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2002, Persatuan Warisan Perak aktif menganjurkan pelbagai program kesedaran dengan kerjasama pelbagai pihak terutama PBT termasuklah Bicara Warisan oleh Dr Zabidin Ismail di Muzium Gopeng dan Jalan-jalan Warisan Papan yang diadakan pada Mei dan Julai tahun lalu.
Mohd Tajuddin berkata, beberapa kajian juga telah dilaksanakan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi tujuan dokumentasi.
Menurutnya, projek terbaru yang dalam peringkat akhir adalah bersama Universiti Sains Malaysia dalam satu kajian bertajuk Warisan Perak Yang Hilang.
“Langkah ini antara komitmen diberikan persatuan bagi menunjukkan keseriusan kita dalam mengangkat warisan negeri.
“Harapan kita agar projek digerakkan ini dapat memupuk kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai sejarah ini terus diperlihara,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!