Cukupkah RM200 sebulan untuk diesel?

Hanya mereka yang memiliki 'fleet card' akan menikmati harga diesel bersubsidi selepas kerajaan melaksanakan dasar subsidi bersasar nanti.
Hanya mereka yang memiliki 'fleet card' akan menikmati harga diesel bersubsidi selepas kerajaan melaksanakan dasar subsidi bersasar nanti.
A
A
A

PEMBERIAN Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) sebanyak RM200 sebulan kepada pengguna kenderaan diesel adalah inisiatif membantu rakyat.

Bantuan tersebut diberi keutamaan kepada kenderaan persendirian, petani dan pekebun kecil.

Walau bagaimanapun, persoalannya adakah jumlah tersebut mencukupi?

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Menurutnya, kriteria kelayakan Budi Individu membabitkan pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia termasuk kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.

Susulan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian yang menggunakan kenderaan tersebut untuk mengangkut barang bagi kegunaan perniagaan pasar tani dan pasar malam boleh mengemukakan permohonan rayuan untuk memperoleh subsidi diesel ini.

Tambah beliau, hanya mereka yang memiliki 'fleet card' akan dapat menikmati harga diesel bersubsidi selepas kerajaan melaksanakan dasar subsidi bersasar nanti.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu boleh dikemukakan secara dalam talian melalui pautan MySubsidi Diesel dan akan diselaraskan KPDN.

Fuziah berkata, terdapat 23 jenis kenderaan barangan yang layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0.

Pada pandangan penulis, pemberian tersebut sangat baik, namun kaedah pemberian bantuan itu perlu diteliti.

Kerajaan perlu mengambil kira jarak antara rumah dan tempat kerja termasuk antara lokasi jika bertugas di luar daerah atau negeri.

Adakah jumlah bantuan itu mencukupi untuk membantu golongan petani atau pekebun kecil?

Kesemua perkara itu perlu dilihat dan maklumat tersebut boleh disemak melalui pangkalan data sedia ada.

Melihat komen-komen di media sosial mendapati orang ramai mengeluh apabila terpaksa mengemukakan permohonan berbeza.

Perkara tersebut menyukarkan urusan mereka kerana terpaksa mengambil masa mengisi pelbagai borang atas talian demi mendapatkan bantuan.

Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan kaedah lebih efektif untuk menyelaraskan kaedah pemberian subsidi terbaik bagi memastikan kecekapan agihan bantuan dibuat tanpa sebarang masalah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!