KWAP rancang wujudkan 12 dana di bawah Dana Pemacu
KUMPULAN Wang Persaraan Inc (KWAP) merancang untuk mewujudkan 12 dana di bawah ‘Dana Pemacu’ yang baru dilancarkan, dengan empat dana masing-masing dalam tiga aset berbeza iaitu ekuiti persendirian, infrastruktur dan aset hartanah.
KWAP berkata, kesemua 12 dana itu akan tertumpu kepada Malaysia kerana majoriti pelaburan akan berada di Malaysia.
Dana persaraan itu berkata bahawa ia juga akan dibenarkan mencari peluang pelaburan di luar Malaysia.
Menurut KWAP, rancangan untuk menubuhkan 12 dana itu dicadangkan kerana tiada dana infrastruktur khusus tertumpu kepada Malaysia, manakala dana minimum tersedia untuk sektor hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk mewujudkan pemain pelaburan baharu dalam pasaran.
"Ia adalah yang pertama seumpamanya dan tidak pernah wujud sebelum ini.
"Jadi, bagi kami, ia sebenarnya agak mengujakan. Saya rasa kemampanan platform itu (Dana Pemacu) akan berterusan (selama bertahun-tahun),” katanya semasa temu bual yang diadakan sempena pelancaran Dana Pemacu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburannya, Hazman Hilmi berkata, terdapat sambutan menggalakkan apabila KWAP mula meminta cadangan untuk Dana Pemacu, dan ia menerima lebih 40 cadangan pelaburan daripada rakan kongsi am (GP) global utama dengan jenama yang kukuh.
Beliau berkata, majoriti GP yang berminat terlibat dalam pelaburan Syariah dan nama mereka akan diumumkan pada Ogos atau September.
Semalam, KWAP melancarkan inisiatif pelaburan modal swasta baharu bernama ‘Dana Pemacu’, dengan peruntukan RM6 bilion.
Dana itu menyasarkan pelaburan dalam sektor-sektor utama ekonomi termasuk keterjaminan makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital, keterangkuman kewangan dan aspek lain dengan impak kritikal dalam kerangka ekonomi Madani.
Ia akan dilaksanakan menerusi dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) dengan kerjasama antara bakat tempatan dan pengurus pelaburan antarabangsa yang merentasi tiga aset berbeza iaitu ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah.
Komitmen sebanyak RM6 bilion itu akan dilabur menerusi SMA konvensional dan patuh Syariah dengan 50 peratus khusus kepada pelaburan fokus Syariah bagi memanfaatkan modal ekuiti Islam untuk impak lebih besar dalam pelaburan patuh Syariah.
Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pasaran swasta secara menyeluruh selain menawarkan peluang unik untuk pelaburan beretika dan bertanggungjawab secara sosial.
Semalam, semasa Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan KWAP untuk memperuntukkan RM3 bilion kepada pelaburan patuh syariah, separuh daripada jumlah komitmen modal Dana Pemacu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!