Pasangan kembar cipta kenangan manis di pentas tilawah al-Quran
KUANTAN - Pasangan kembar Nor Hidayah Abd Rahman dan adiknya Nor Jannah mencipta kenangan manis dalam Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi selepas masing-masing bergelar johan dan meraih tempat ketiga bagi kategori tilawah, malam Selasa.
Nor Hidayah, 33, yang bergelar johan kategori tilawah al-Quran bagi dua tahun berturut-turut mengakui agak tertekan sepanjang pertandingan itu berlangsung, namun lega selepas diumumkan sebagai pemenang.
"Berada di tempat johan menunggu ini agak tertekan sebab nak kekalkan johan itu sukar, tetapi apa yang saya dapat ini bukan sebab hebatnya diri namun kerana berkat doa mak dan ayah serta orang sekeliling," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Johan menunggu merupakan gelaran bagi peserta yang memenangi tilawah pada tahun sebelumnya dan bertanding pada tahun semasa.
Bagi Nor Jannah, MTHQK kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila beliau dan kakaknya melakar kejayaan bersama di peringkat kebangsaan setelah pernah bergelar johan dan naib johan di peringkat negeri sebelum ini.
Pertandingan tilawah peringkat kebangsaan merupakan penyertaan kali kelapan bagi Nor Hidayah manakala yang kelima untuk Nor Jannah yang berasal dari Terengganu.
Nor Jannah berkata, bapa mereka Abd Rahman Omar, 74, yang juga guru al-Quran memainkan peranan penting dalam mencorak kejayaan mereka sebagai peserta tilawah dan sering kali menemani sepanjang pertandingan.
Pada MTHQK itu naib johan qariah dimenangi Nadhrah Ahmad Marzuki dari Negeri Sembilan.
Dalam pada itu qari dari Negeri Sembilan Mohamad Husaini Mahmur, 31, berjaya bergelar johan setelah beberapa kali mencuba sejak 2015 di peringkat kebangsaan.
"Penyertaan sebelum ini ada yang saya mendapat tempat ketiga dan alhamdulillah, kali ini bergelar johan berkat sokongan orang ramai sejak dahulu lagi. Kemenangan ini juga merupakan hasil tidak jemu-jemu guru al-Quran yang mengajar saya menjadi pembaca dan beramal dengan al-Quran," katanya.
MTHQK 2024, program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Pahang berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei dan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!