Polis buru 10 lagi 'Geng TR'
KUALA LUMPUR - Polis memburu 10 individu disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap yang dikenali sebagai Geng TR.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu terbabit dan sedang memburu 10 lagi individu yang masih bebas
"Walaupun sudah melarikan diri tetapi kita akan kesan mereka," katanya pada sidang akhbar dekat sini, pada Rabu.
Mohd Shuhaily berkata, sebelum ni, pihaknya telah menahan 21 individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan kongsi gelap menerusi Op Lima pada 3 Mei lalu di sekitar Selangor, Johor dan Pahang.
"Kesemua individu berkenaan adalah ahli kumpulan kongsi gelap dan aktif menjalankan pelbagai kegiatan jenayah antaranya pembunuhan, pemerasan, pengedaran dadah dan khianat dengan api," katanya.
Beliau berkata, kesemua 21 individu terbabit berusia 28 hingga 51 itu juga merupakan ahli kumpulan kongsi gelap dari Geng 08, Geng 21, Geng 18, Geng 24 dan Geng 36.
"Kesemua mereka aktif dalam kegiatan jenayah terancang di sekitar Selangor sejak 2019 dan mereka ditahan mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula 3 Mei hingga 28 Mei.
"Seramai 20 individu termasuk dua di Penjara Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya juga mengesan modus operandi kumpulan kongsi gelap sudah berbeza di mana individu yang mahu menjadi ahli perlu melakukan 'job' sebelum diterima sebagai ahli.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!