Cetakan persekitaran alternatif teknologi pembelajaran literasi kanak-kanak
PENGGUNAAN teknologi dalam pembelajaran literasi menjadi sebahagian daripada keperluan semasa.
Penekanan ini turut dinyatakan dalam dokumen rasmi Kurikulum Standard sekolah di Malaysia.
Penggunaan teknologi merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang dapat menarik minat kanak-kanak.
Alat teknologi seperti video di YouTube, kuiz dalam talian, buku interaktif dan aplikasi pembelajaran adalah antara yang menarik dan boleh membantu meningkatkan motivasi serta tumpuan kanak-kanak dalam membaca dan menulis.
Walaubagaimanapun, alat bukan teknologi tetap relevan dan boleh digunakan sebagai bahan pembelajaran, sama ada di sekolah atau di rumah.
Salah satunya adalah cetakan persekitaran atau 'environmental print'.
Bahan ini merangkumi teks dan simbol yang terdapat di sekeliling kanak-kanak termasuk di sekolah, rumah serta di tempat awam seperti jalan raya, pusat beli-belah, restoran, hospital dan sebagainya.
Contoh cetakan persekitaran adalah papan tanda jalan, papan iklan, label sesuatu barang, papan tanda restoran, kotak permainan, pembungkus makanan, poster, brosur dari pusat beli belah dan sebagainya.
Cetakan persekitaran mudah didapati dengan kos yang minimum.
Ada di antaranya yang tidak memerlukan kos sama sekali.
Bahan ini mempunyai pelbagai manfaat dalam konteks literasi kanak-kanak.
Antara manfaat cetakan persekitaran adalah ia dapat meningkatkan minat kanak-kanak terhadap aktiviti membaca.
Bahan yang berwarna-warni berserta paparan visual dan tulisan yang pelbagai dapat memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk melihat teks tertera serta membacanya.
Kedua, cetakan persekitaran menunjukkan nilai praktikal membaca dan menulis dalam kehidupan kanak-kanak.
Contohnya, papan tanda arah dapat membantu mereka mengenal pasti nama tempat, membuat pilihan, dan mengambil tindakan.
Ini membantu kanak-kanak memahami kepentingan belajar membaca dan menulis.
Ketiga, cetakan persekitaran dapat membantu kanak-kanak menambah perbendaharaan kata.
Mereka sering menemui perkataan dan simbol yang boleh dijumpai di sekitar mereka dengan mudah seperti 'berhenti', 'keluar' atau 'jualan promosi'.
Dengan melihat cetakan persekitaran seperti ini, kanak-kanak dapat mengetahui maksud perkataan tersebut melalui simbol yang dipamerkan sekali gus meningkatkan kosa kata mereka.
Akhir sekali, cetakan persekitaran boleh digunakan untuk menyokong perkembangan kemahiran mengenal huruf dan perkataan kanak-kanak.
Contohnya, mereka dapat melihat huruf tertentu pada label pembungkus makanan dan menyebutnya atau memadankan huruf dengan gambar yang ada.
Ini membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran literasi asas mereka.
Kesimpulannya, cetakan persekitaran adalah bahan yang paling mudah didapati untuk kegunaan pembelajaran literasi kanak-kanak.
Oleh sebab tidak semua kanak-kanak mempunyai kemudahan alat teknologi dan akses kepada internet, cetakan persekitaran boleh membantu meningkatkan penguasaan literasi kanak-kanak ini.
Kajian mendapati, bahan ini sangat bermanfaat dan dengan bantuan guru, ibu bapa dan keluarga, sesi membaca dan menulis dapat dijalankan di mana-mana, dengan mudah secara interaktif dan efektif.
Dr Siti Soraya Lin Abdullah Kamal, Universiti Sains Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!