Sukarelawan Malaysia tak putus bantu Banten
BANTEN - INDONESIA . Pasukan sukarelawan dari Malaysia pantas menghulurkan bantuan kepada penduduk di Selat Sunda yang dilanda tsunami 22 Disember lalu akibat amukan gunung berapi, Anak Krakatau.
United Sikhs Malaysia antara kumpulan terawal yang menurunkan sukarelawannya bagi membantu dari segi perubatan dan logistik 27 Disember lalu.
Sukarelawannya, Mandeep Singh berkata, kumpulan pertama misi Bantuan Tsunami Indonesia membawa dua doktor perubatan ke daerah yang terjejas.
“Kami berada di sini selama tiga hari sahaja tapi pasukan berikutnya akan masuk untuk tempoh lebih lama dengan membawa bantuan diperlukan berdasarkan maklumat yang kami bekalkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Lebuhraya Tangerang-Merak nyaris ragut nyawaku...]
“Bantuan kita berterusan dan akan diberikan sehingga tidak diperlukan lagi. Dalam misi sebelum ini, kami berada di satu kawasan bencana sehingga tiga atau empat bulan dan kita akan ganti-ganti sukarelawan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di daerah Labuan, Banten.
Doktor perubatan yang kini bertugas di Australia, Dr Talvinder Singh memberitahu beliau pulang ke Malaysia dan terus ke Indonesia untuk misi bantuan awal itu.
"Dalam misi bantuan kali ini saya dan Dr Harwant Singh yang kini bertugas di Pagoh pergi ke kawasan terjejas untuk beri bantuan perubatan awal.
“Kebanyakannya kawasan yang kami pergi masih belum menerima sebarang rawatan kesihatan,” katanya.
Tambahnya, sejak menyertai NGO itu, bantuan diberikan tanpa batasan agama, kaum mahupun warna kulit.
“Semua orang sama walau agama kita tak sama, ia bukan batasan kami untuk hulurkan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Menurut Mandeep, United Sikhs Malaysia telah bergerak aktif termasuk di seluruh Malaysia bagi membantu golongan memerlukan meskipun bukan mangsa bencana alam.
“Kami memang aktif bergerak membantu mana-mana tempat yang dilanda bencana termasuk di Malaysia tapi bukan setakat itu sahaja.
“Kami juga banyak bantu Orang Asli dan yang terbaharu, kita hantar bantuan ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan selain bantuan 750 makanan di kawasan Pudu Raya setiap hari Jumaat,” katanya.
Dalam banjir besar di Kelantan sebelum ini, United Sikhs Malaysia menghantar 700 tan bahan makanan menggunakan helikopter
Menurutnya, usaha mengumpul dana dan bahan makanan dijalankan dengan pelbagai cara termasuk melalui program ‘Good Will Walk’ yang telah bermula sejak tahun 2015.
“Pertama kali, kami jalan kaki dari Singapura ke Melaka. Kemudian kali kedua kami berjalan kaki dari Wang Kelian ke Melaka. Sekitar 785 kilometer dengan 14 orang sukarelawan akan sertai dari awal sampai akhir dan apabila sampai kawasan sekitar bandar, orang ramai akan sertai kami.
“Tujuan kami berjalan untuk mengutip derma dan bahan makanan yang kemudiannya kita akan agihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!