Pas Kelantan sedia bantu pertahankan kerusi di PRK Sungai Bakap
KOTA BHARU - Pas Kelantan sedia menggerakkan jentera untuk membantu gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut.
Setiausahanya, Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagaimanapun pihaknya belum bermesyuarat berkait dengan perkara tersebut.
"Setiap kali PRK, kita akan gerakkan jentera bagi membantu gerak kerja berkempen untuk calon. Menang kalah adat pertandingan, kita tetap lawan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan Pas kekal memang di kerusi berkenaan.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong setelah penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!