Pelajar hilang ketika keluar tonton bola sepak
BATU PAHAT - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak, pada Ahad.
Abdul Halid Sugiman, 44, berkata, anaknya Hafiz Fauzan, sebelum itu diambil dari asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja sempena cuti sekolah.
"Selepas menjemputnya, kami keluar makan bersama-sama. Selepas sampai rumah, Hafiz meminta izin untuk keluar menonton perlawanan bola di kedai makan berhampiran rumah di Bandar Putera Indah di Batu Pahat.
"Ketika keluar, dia juga menyatakan akan ke Parit Ju untuk mengambil rakan sekelasnya kerana kebiasaannya mereka berdua akan menonton bersama-sama di kedai makan itu.
"Bagaimanapun, difahamkan rakannya itu tiada di rumah kerana mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan pesta buku di sana," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut Abdul Halid lagi, usaha mengesan anaknya sudah dilakukan dengan menghubungi rakan serta gurunya yang membuat rombongan sekolah namun Hafiz tiada.
"Kami juga sudah menghubungi rakan-rakan lain serta saudara terdekat juga tidak mempunyai maklumat tentang Hafiz.
"Selain itu, kami meninjau di beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja, namun tiada petunjuk diperoleh.
"Ketika keluar Hafiz menunggang motosikal jenis Honda Future 125 nombor pendaftaran JDL 1421 berwarna hitam dan menyarung jaket juga berwarna hitam," ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan remaja itu.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat tentang remaja ini diharapkan dapat menghubungi mana-mana Balai Polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!