Bapa sebak anak terlantar lebih 20 tahun terima MyKad

Muhammad (kanan) melihat keadaan Afiq Aiman yang terlantar selepas mengalami dehidrasi akibat cirit-birit ketika anaknya itu berusia 13 bulan.
Muhammad (kanan) melihat keadaan Afiq Aiman yang terlantar selepas mengalami dehidrasi akibat cirit-birit ketika anaknya itu berusia 13 bulan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas di Kampung Chenok dekat sini tidak dapat menahan sebak apabila anaknya yang terlantar lebih 20 tahun menerima kad pengenalan diri.

Lebih manis, MyKad itu diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias yang hadir di kediamannya pada Program Mekar JPN pada Rabu.

Muhammad Abdullah, 68, berkata, keadaan fizikal Afiq Aiman, 22, menyukarkannya untuk membawa mendaftar kad pengenalan ketika berusia 12 tahun.

Bapa kepada dua anak itu juga memberitahu, anaknya tidak mampu bersandar dikerusi dan akan terjatuh jika diletakkan mengiring di dalam kereta.

"Jadi saya terpaksa menangguhkan permohonan tetapi tetap memikirkan cara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan MyKad Afiq Aiman," katanya.

Justeru, Muhammad bertanya kepada rakan-rakan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mendapatkan dokumen penting itu.

Berkongsi kisah Afiq Aiman, Muhammad memberitahu, anaknya terlantar selepas cirit-birit teruk ketika berusia 13 bulan sehingga mengalami dehidrasi dan dirawat di Unit Rawatan Rapi akibat koma selama lima hari.

"Dia kemudian dipindahkan ke wad biasa selama seminggu sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tambahnya, dua minggu berada di rumah, anak sulungnya itu mengalami kekejangan sehingga mengakibatkannya terlantar.

Muhammad kemudiannya menjaga Afiq Aiman ditemani anak keduanya, Afifah Thohiroh, 15, selepas kematian isteri pada 2010 akibat kanser limfoma tahap tiga.

"Saya terpaksa berhenti kerja di sebuah pusat seni di bandar ini dan memberi perhatian kepada mereka," katanya.

Jelasnya lagi, berbekalkan pencen arwah isteri sebagai guru, dia membeli keperluan anak-anak termasuk susu dan lampin pakai buang.

"Saya berharap selepas mendapat MyKad, Afiq Aiman akan menerima rawatan yang lebih baik berikutan sudah lebih 15 tahun tidak menjalani prosedur perubatan berikutan ketiadaan pengenalan diri itu," katanya lagi.

Mereka yang mahu membantu mengurangkan beban Muhammad boleh menghulurkan derma melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03018021256236 atas nama Muhammad Abdullah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!