‘Yang pasti, ramai yang pergi tidak akan kembali lagi’ - Annuar Musa

Tangkap layar kenyataan Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Tangkap layar kenyataan Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa setiap pemimpin yang meninggalkan parti berkenaan tidak akan kembali menyertainya lagi.

Beliau berkata, pandangannya tidak lagi relevan, namun terpulang kepada mereka sekiranya mampu menentukan arah parti dalam politik.

“Itu hak individu, yang pasti ada banyak pilihan. Tepuk dada tanya selera.

“Pokok pangkalnya, kita perlu bertanya diri untuk apa kita mendukung atau menyokong sesuatu parti. Apa lagi jika parti itu sudah jelas rosak angkara pemimpinnya, tidak relevan dan ditolak oleh rakyat secara nyata.

“Yang pasti, ramai yang pergi tidak akan kembali lagi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, parti itu bersedia menerima bekas pemimpin dan ahli parti yang telah disingkirkan.

Jalaluddin yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan memaklumkan, ini kerana ada di kalangan mereka yang disingkirkan selepas proses pemutihan mahu menjadi ahli UMNO semula selepas melihat keadaan parti itu ketika ini.

Antara pemimpin utama UMNO yang dilucutkan keahliannya ialah bekas menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli MKT, Isham Jalil.

Artikel Berkaitan:

Parti tersebut turut menggantung keahlian bekas menteri, Hishamuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan bahawa UMNO pada masa ini tidak lagi demokratik dan rasional.

"Jelas deria politik mereka telah dikembirikan perlahan-lahan. Apabila Universiti Teknologi Mara (UiTM) digelar apartheid mereka diam," tambahnya.

Annuar menjelaskan parti UMNO kini hanya menjadi alat dan perisai bagi melindungi pemimpin serta tiada lagi demokrasi dalam organisasi.

Katanya lagi, parti itu membelakangkan asas dan dasar penubuhannya yang sudah kabur mengenai siapa teman, musuh, murid dan gurunya.

“Tidak hairan kalau beribu-ribu cawangan terbiar dan gagal atau enggan bermesyuarat. Berjuta penyokong menukar kiblat dari satu pilihan raya umum (PRU) ke satu PRU.

“Ratusan ribu ahli tidak segan memilih untuk tidak ikut ‘menjilat’ malah sebaliknya tidak takut untuk memberi pelbagai isyarat, memilih haluan sendiri dan menukar kiblat,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!