Sekumpulan lelaki main permainan video cedera diserang lima lelaki
IPOH - Polis sedang mengesan lima lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah kedai permainan komputer di kawasan Buntong di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada seorang lelaki berusia 24, semalam yang mendakwa diserang kesemua suspek.
"Kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika mangsa bermain permainan komputer dan secara tiba-tiba datang lima individu menyerang mangsa dan rakannya.
"Berikutan itu, pengadu dan beberapa rakannya mengalami kecederaan akibat diserang dengan pisau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Insp Muhammad Izad Ayob menerusi talian 014-3218 969.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi seminit 30 saat memaparkan kejadian beberapa suspek memasuki premis berkenaan lalu menyerang beberapa individu yang sedang menggunakan perkhidmatan komputer. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!