27,830 permohonan daftar kelahiran lewat direkodkan
BESUT - Sebanyak 27,830 permohonan daftar kelahiran lewat direkodkan di seluruh negara sejak Januari 2022 sehingga kini.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias menyatakan ini berdasarkan rekod diperoleh menerusi 900 Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di semua negeri.
Menurutnya, negeri Sabah merekodkan kes daftar kelahiran tertinggi iaitu sebanyak 8,158 kes.
"Antara faktor yang menyebabkan kelewatan pendaftaran kelahiran termasuk masalah kewangan yang menyebabkan mereka tidak mendaftarkan kelahiran dalam tempoh ditetapkan sekali gus gagal hadir ke JPN."JPN melaksanakan program MEKAR untuk memastikan seluruh rakyat terutama negeri Terengganu dan secara amnya rakyat Malaysia mendapat pengenalan diri selayaknya.
"Keduanya adalah pemahaman ataupun tidak tahu sebenarnya sebab masih ada di luar sana tak tahu (daftar sijil kelahiran) dan ketiganya ialah perkahwinan di negara jiran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas Penyerahan Sijil Kelahiran di Kampung Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut dekat sini pada Rabu.
Justeru, Badrul Hisham menasihatkan ibu bapa agar tidak mengambil mudah berkaitan pendaftaran kelahiran kerana ia melibatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan pada masa akan datang.
"Saya minta orang ramai untuk memaklumkan di 212 pejabat JPN seluruh Malaysia bagi membantu mana-mana individu yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri.
"Kita juga memohon kepada pihak badan bukan kerajaan (NGO) selain mana-mana individu untuk tampil membantu golongan yang mempunyai masalah berkaitan bagi mendapatkan pengenalan diri sewajarnya melalui saluran sepatutnya," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!