'Saya sangka motosikal kami dilanggar kenderaan lain'
KUALA PILAH - "Selalu saya dengar orang yang kena, tapi sekarang ia terjadi kepada kami empat beranak pula".
Demikian kata, Nur Nisa Nabilah Baharuddin, 25, yang terselamat selepas terjatuh daripada motosikal akibat dihempap dahan pokok patah di Jalan Bukit Putus di sini pada Selasa.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu berlaku ketika dia dan suami bersama dua anak perempuan berusia tiga dan enam tahun dalam perjalanan membuat penghantaran makanan di Senawang.
"Saya separuh sedar bila kejadian itu berlaku dan pada awalnya menyangka motosikal kami dilanggar kenderaan lain.
"Ketika saya diangkat untuk diletakkan di tepi jalan, barulah saya tahu yang saya dan anak bongsu terjatuh kerana dihempap dahan pokok patah," katanya dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, dia dan anak kemudiannya dihantar oleh ambulans ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun mengalami sakit pada bahagian kepala manakala telinga kirinya kurang dengar.
"Anak bongsu saya pula hanya alami luka pada bahagian kepala dan muka. Masa kejadian itu dia sedang tidur dan mujurlah kereta di tepi kami itu sempat berhenti, kalau tidak, sudah tentu kami dilanggar," katanya.
Tambahnya, ketika kejadian, laluan berkenaan agak sesak berikutan ada kerja-kerja memotong pokok di kawasan Ulu Bendul.
Ujarnya lagi, sudah menjadi rutin buatnya berulang alik dari Kuala Pilah ke Seremban untuk membuat penghantaran makanan, namun tidak pernah berdepan kejadian malang seperti itu.
Nur Nisa berkata, dia dan suami terpaksa membawa anak-anak bersama kerana tiada siapa boleh menjaga mereka.
"Saya dan suami berniaga makanan secara kecil-kecilan dan inilah sumber pendapatan utama kami sejak tiga tahun lalu.
"Kejadian malang nak berlaku, kita tak tahu bila. Bila saya tanya suami, dia pun tak nampak yang dahan pokok itu nak patah, kalau tak sudah tentu dia elak dari awal," katanya yang tinggal di Taman Pilah Jaya.
Sebelum ini tular video berdurasi 0.59 saat yang memaparkan dahan pokok yang sudah reput di tepi jalan patah secara tiba-tiba lalu menghempap motosikal dinaiki dua beranak terbabit yang kebetulan lalu di situ.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!