Patro terbiar, hilang tarikan pelancongan di Perak

Patro pernah menjadi salah satu tarikan pelancongan daerah Batu Gajah kini suram selepas lebih setahun tidak beroperasi. Foto: Pembaca
Patro pernah menjadi salah satu tarikan pelancongan daerah Batu Gajah kini suram selepas lebih setahun tidak beroperasi. Foto: Pembaca
A
A
A

BATU GAJAH - Perak Agrotourism Resort (Patro) yang menjadi lokasi tumpuan pelancong di Sungai Galah dekat Tanjung Tualang dekat sini, kini seperti hidup segan mati tak mahu.

Lokasi yang dibangunkan dengan menggabungkan elemen pelancongan dan pertanian di kawasan seluas 271.1 hektar itu diusahakan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) sejak 2017.

Penduduk, Mohd Shazaly Zainal Abidin. 39, berkata, keadaan Patro yang menempatkan chalet-chalet tepi lombong itu dilihat amat menyedihkan apabila kawasan itu tidak lagi terurus berbanding zaman kegemilangannya.

Menurutnya, pusat berkenaan cukup meriah sekitar tahun 2017 hingga 2019 dengan kehadiran pelancong termasuk dari luar negara.

"Jika difikirkan banyak aktiviti menarik disediakan antaranya menunggang kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV), berbasikal dan paintball serta aktiviti sukan air seperti bot kayuh dan kanu.

"Pengunjung ketika itu juga boleh melihat pelbagai tanaman seperti cili, ladang buah-buahan, perusahaan madu kelulut dan pemprosesan telur masin.

Rumah Kutai yang menampilkan seni bina Melayu kelihatan usang selepas dibiarkan.
Rumah Kutai yang menampilkan seni bina Melayu kelihatan usang selepas dibiarkan.

"Tetapi sekarang seperti lama ditinggalkan tanpa ada penjagaan apabila chalet dan dewan makan yang dibina ciri Melayu tradisional mula mereput dan kelihatan usang dengan semak mula tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Shazaly, Perak bakal kehilangan satu lagi produk agro pelancongan sekiranya ia terus dibiarkan tanpa penyelenggaraan segera.

"Bagi saya Patro antara model terbaik agro pelancongan dan edutourism kerana menjadi galakkan kepada pengunjung yang minat pertanian.

"Tempat ini juga memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam bidang hospitaliti dan pernah menjadi pusat jualan kepada produk tempatan seperti kerepek dan lain-lain," katanya.

Kawasan Patro mula ditumbuhi semak selepas setahun tidak beroperasi. Foto: ihsan pembaca
Kawasan Patro mula ditumbuhi semak selepas setahun tidak beroperasi. Foto: ihsan pembaca

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abd Malek berkata, agak menghairankan apabila pusat agro pelancongan yang bernilai jutaan ringgit itu gagal ditadbir sebaiknya.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu memperkasakan lagi dasar pelancongan dan sosio ekonomi agar ikon-ikon pelancongan negeri dapat kekal bertahan.

"Tidak sepatutnya GLC mengusahakan projek pelancongan sebaliknya perlu menggalakkan pengusaha tempatan melaksanakannya dengan disokong kerajaan negeri bagi memperkasakan usahawan setempat.

Chalet-chalet yang sediakan untuk pengunjung di Patro kini sudah tidak diselenggarakan. Foto: ihsan pembaca
Chalet-chalet yang sediakan untuk pengunjung di Patro kini sudah tidak diselenggarakan. Foto: ihsan pembaca

"Selain itu, insentif dan inisiatif perlu diberikan kepada usahawan tempatan untuk menarik pelancong serta memudahkan prosedur undang-undang berkaitan pembangunan tanah pertanian untuk dijadikan resort atau pusat agro pelancongan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!