Hukuman gantung anak Datuk bunuh Gaik Yap kekal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Hukuman gantung terhadap bekas ahli perniagaan, Shahril Jaafar yang membunuh seorang eksekutif pemasaran wanita berhampiran Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah, 18 tahun lalu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu.

Ia selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, sebulat suara menolak permohonan semakan anak seorang ahli perniagaan bergelar Datuk itu.

Ketika membacakan keputusan berkenaan, Harmindar Singh berkata, fakta kes yang membawa kepada kematian mangsa didapati amat luar biasa.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais berkata, mangsa bukan sahaja dibunuh, malah telah dirogol dan liwat.

Lebih menyedihkan, katanya, jenayah dilakukan pada waktu siang, di kawasan kunjungan orang ramai, sedangkan lokasi berkenaan menjadi tempat yang selamat untuk riadah.

"Walaupun mahkamah mempunyai belas kasihan terhadap pemohon, namun panel ini berpandangan bahawa, fakta kes ini adalah luar biasa kerana melibatkan keganasan yang menimbulkan kekecohan umum.

"Mahkamah tidak terikat dengan pandangan umum, maka permohonan ini ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” katanya.

Pada 9 Ogos 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah menjatuhi banduan ini hukuman mati selepas bersalah atas tuduhan membunuh Chee Gaik Yap, 25, di Taman Ria Jaya, berhampiran kelab itu, antara jam 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan 3.05 pagi, keesokannya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes ini, responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sementara peguam Rosli Kamaruddin hadir bagi pihak banduan berkenaan selaku pemohon.

Pada 14 Januari 2006, Gaik Yap ditemui ditemui mati di lokasi berkenaan, dalam keadaan separuh bogel.

Selepas tiga tahun peristiwa pembunuhannya, Shahril ditahan bagi membantu siasatan kes.

Bagaimanapun, pada 25 Jun 2013, Mahkamah Tinggi membebaskan Shahril kerana bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak kukuh untuk mengaitkannya dengan pembunuhan itu.

Keputusan itu menyebabkan bapa mangsa, Chee Ah Sau sangat kecewa dan bertindak untuk terjun dari tingkat dua mahkamah, namun berjaya dihalang oleh petugas media.

Usaha keluarga mangsa bagi menuntut keadilan turut meraih sokongan beberapa orang kenamaan dan akhirnya, membuahkan hasil apabila mahkamah rayuan telah mengetepikan keputusan untuk membebaskan tertuduh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!