Pengurus kedai kek didakwa tipu pembelian jam tangan RM335,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus sebuah kedai kek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan dalam urusan pembelian seutas jam tangan berjenama bernilai lebih RM300,000, bulan lepas.

Amelia Chong Mey Wen, 33, didakwa menipu Lee Ka Seng, 32, dengan memperdayanya untuk menyerahkan jam tangan berjenama bernilai RM335,000 dalam urusan jual beli terbabit di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil, pada 8.30 malam, 12 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman menawarkan jaminan RM40,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Lim Kwang Ching memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya mempunyai anak masih kecil dan suami hanya bergaji RM2,500 sebagai jurujual serta akaun bank tertuduh dan suami telah disita.

Hakim Azrul Darus membenarkan Chong diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Di mahkamah sama, seorang suri rumah mengaku tidak bersalah menerima deposit tanpa lesen sebanyak RM450,000 di sebuah bank di Wangsa Maju di sini, pada 25 Oktober 2019 dan 28 Mei 2020.

Norazlin Mohd Adnan, 39, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menerima wang deposit itu daripada Raja Azila Raja Abdul Aziz, 37, tanpa lesen yang sah sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Muhammad Amir menawarkan jaminan RM15,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Farith Emier Farhan memohon jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya memiliki empat anak berusia lapan hingga 13 tahun dan suaminya bekerja sebagai pemandu e-panggilan dengan memperoleh pendapatan sekitar RM1,300 sebagai pencari nafkah tunggal.

Azrul membenarkan Norazlin diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!