Arab Saudi kutuk pembunuhan beramai-ramai berterusan Israel di Rafah

Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023. Foto: Xinhua
Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023. Foto: Xinhua
A
A
A

ANKARA - Arab Saudi pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya apa yang disifatkannya sebagai 'pembunuhan beramai-ramai berterusan' Israel terhadap penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, lapor Agensi Anadolu.

Jawatankuasa Kecemasan Rafah menyatakan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh pada Selasa dalam serangan Israel di kawasan khemah pelarian di al-Mawasi, barat Rafah.

Insiden itu berlaku selepas sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan Israel di khemah pelarian di Tel al-Sultan pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Arab Saudi berkata, pembunuhan beramai-ramai oleh Israel terhadap rakyat Palestin berterusan tanpa sebarang tindakan pencegahan dengan menyasarkan khemah-khemah pelarian Palestin di Rafah.

Ia menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku di Rafah dan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki.

Kementerian itu menekankan perlunya masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawabnya untuk menghentikan genosid terhadap rakyat Palestin dan menahan mereka yang bertanggungjawab.

Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuntut gencatan senjata segera di wilayah itu.

Hampir 36,100 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak dengan sebahagian besar Gaza hancur di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Artikel Berkaitan:

Serangan Israel ke atas Rafah, yang dilancarkan pada awal Mei telah memaksa sejuta penduduk melarikan diri dari bandar itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!