Penduduk berpesta tangkap ikan kelisa
KLUANG - Penduduk di kawasan Layang dan Simpang Renggam tidak melepaskan peluang menangkap ratusan ikan kelisa yang dipercayai terlepas dari kolam takungannya yang pecah.
Malah, video aktiviti penduduk menangkap ikan berkenaan tular di media sosial sejak Selasa.
Bagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Sani, kejadian berlaku pada kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan kawasan di Kampung Tengah diserbu orang ramai.
Katanya, ia bagaikan pesta apabila penduduk dan warga asing yang tinggal berdekatan menangkap ikan yang berharga tinggi itu.
Menurut beliau, ia kali pertama berlaku sejak kewujudan perusahaan membela ikan yang mencecah ribuan ringgit itu.
Menerusi video yang tular itu, orang ramai dilihat menangkap ikan kelisa yang ditemui dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam.
Malah ada juga penduduk yang menjadikan ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram sebagai menu masakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!