Hukuman jel, denda RM400,000 kes rasuah Allahyarham Zailan kekal
PUTRAJAYA – Hukuman penjara dua tahun dan denda RM400,000 terhadap Allahyarham Zailan Jauhari dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, berhubung kes menerima suapan RM80,000 pada 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir pihak pembelaan mewakili bekas pegawai khas bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Pada 27 Disember 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor menjatuhi tertuduh hukuman penjara dua tahun dan denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara tersebut dengan syarat tertuduh membayar denda serta memfailkan rayuan kes ke Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dengan seorang penjamin.
Zailan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam, namun pada 17 Februari 2022 mahkamah mengekalkan keputusan itu.
Bagaimanapun, dia meninggal dunia pada usia 54 tahun Januari tahun lalu.
Ketika membaca keputusan sebulat suara itu, Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin berkata, terdapat keterangan yang melimpah ruah (memihak) kepada pihak pendakwaan.
Susulan itu, beliau berkata, rayuan bekas pegawai khas kepada bekas menteri kabinet terhadap sabitan dan hukuman ditolak.
“Jaminan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini, dikembalikan kepada penjamin,” kata hakim itu.
Mengikut pertuduhan, Zailan didakwa menerima suapan bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai RM20,000 dan satu cek bernilai RM60,000 sebagai upah kerana membantu dua syarikat mendapatkan tender bagi kerja-kerja pembersihan sekolah dalam daerah Kuala Selangor.
Dia yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2014 didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kuala Selangor, antara jam 7.30 dan 8 malam, pada 8 Januari tahun sama.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding ini, peguam, PG Cyril hadir bagi pihak Zailan selaku perayu sementara responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!